Tangani ekstremisme agama perlu sokongan mahasiswa, anak muda
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak, termasuk mahasiswa Universiti Malaya (UM) atas sokongan mereka dalam menjayakan Program Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan dan Keharmonian Negara yang berlangsung malam tadi.
Beliau berkata, majlis yang berlangsung di Dewan Chengal, IWK Eco Park, Kuala Lumpur yang disertai mahasiswa UM itu mencerminkan komitmen tinggi anak muda dalam usaha membina naratif Islam yang damai, inklusif dan berpaksikan ilmu.
"Semoga segala usaha dan perbincangan yang berlangsung malam tadi menjadi asbab kebaikan, memperkukuh kefahaman serta menguatkan perpaduan negara.
"Program anjuran MAIWP, Akademi NUNJI dan Yayasan EZ Prihatin turut menghimpunkan para panelis seperti Dr Abdul Muqit Muhammad, Ustaz Ridzwan Abu Bakar dan Ustaz Fadhlullah Ismail bagi membincangkan pendekatan berhemah serta berpaksikan fakta dalam menangani isu ekstremisme agama.
"Alhamdulillah, saya juga berpeluang menyampaikan ucaptama dalam siri program berkenaan," kata mantan Menteri Agama itu dalam satu muat naik di media sosial.
Di akhir program katanya, beliau bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan EZ Prihatin, Mokhtar Zaidi turut menyampaikan Bakul Makanan Yayasan EZ Prihatin kepada para mahasiswa yang hadir bagi membantu meringankan beban mereka.





