Tangani ekstremisme agama dengan dialog - Dr Mujahid
- Suara Keadilan
- 20 minutes ago
- 1 min read

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan bahawa usaha menangani ekstremisme agama mesti berasaskan hikmah, rahmah dan dialog terbuka bagi memelihara perpaduan serta keharmonian negara.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Menangani Ekstremisme Agama anjuran Akademi Nadwah Ulama’ Li An Nahdhah Al Jadidah (Akademi NUNJI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Restoran Amjal, Kuala Lumpur, malam tadi.
"Program ini diadakan dalam bentuk forum yang membincangkan cabaran serta pendekatan dalam menangani ekstremisme agama demi memastikan perpaduan dan keharmonian negara terus terpelihara," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut Dr Mujahid, forum tersebut penting bagi membincangkan cabaran serta pendekatan terbaik dalam menangani ekstremisme agama, sekali gus memastikan kesejahteraan sosial dan keharmonian berbilang kaum di Malaysia terus terpelihara.
"Saya amat menghargai usaha penganjur dalam membawa wacana penting ini yang memupuk kefahaman agama secara seimbang dan penuh kasih sayang," ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program tersebut termasuk panelis dan peserta yang hadir.
"Semoga usaha sebegini terus diperkukuh demi Malaysia yang berteraskan nilai MADANI iaitu berasaskan Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan agar negara ini kekal aman, maju dan harmoni," katanya lagi.
Forum malam tadi menghadirkan Ustaz Ali Muda (Pendakwah bebas), Raja Haziq Raja Kamal (Moderator) dan Fadhli Umar Aminolhuda (Peguam) bagi membincangkan tajuk menangani ekstremisme agama demi perpaduan dan keharmonian negara.





