Tangani banjir: Kerajaan Selangor ambil perhatian nasihat Sultan Sharafuddin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengambil perhatian terhadap nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya usaha menangani masalah banjir di negeri itu diberi keutamaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang meneroka pelbagai pendekatan paling sesuai bagi menangani isu tersebut dengan perincian mengenainya dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jun atau Julai ini.
"Kita sedang meneroka semua aspek termasuk kerjasama dengan (kerajaan) Belanda dan pihak berkaitan. Sejak 2023 hingga 2024, beberapa pertemuan telah diadakan dengan wakil dari negara itu.
"Bagaimanapun, setakat ini ia masih di peringkat Memorandum Kerjasama dan hanya melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), belum lagi diperluaskan ke peringkat negeri," katanya dipetik.
Amirudin ditemui pemberita selepas merasmikan Showcase Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.
Sementara itu menurut beliau, sebaik semua perancangan dimuktamadkan, maklumat terperinci berhubung usaha menangani banjir di Selangor akan diumumkan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim.




Comments