Tanaman melon untuk program agro bandar di kawasan terhad
- Redzuan Shamsudin
- Feb 25, 2024
- 1 min read

Kerajaan Selangor akan meluaskan program tanaman melon untuk pertanian bandar atau agro bandar bagi memanfaat kawasan lapang di sekitar taman perumahan.
Hal itu dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam dalam Majlis Perasmian Program Agrobandar Tanaman Melon di Pandan Indah.
Katanya, projek perintis yang berjaya tersebut menggunakan keluasan tanah kurang setengah ekar dan boleh memperolehi hasil lumayan berdasarkan harga melon di pasaran ketika ini sekitar RM16 sekilogram.
"Ini yang pertama dan akan menjadi pusat contoh atau kajian untuk pembukaan di tempat lain.
"Sebab dia punya circle of harvesting antara 55 - 60 hari. Jadi kita percaya tempat ini jadi satu pilot projek dan tempat ini akan menjadi pusat latihan.
"Kita ada dua fokus, satu IPR Intan yang dibuat Kementerian Ekonomi. Saya tengok ada pulangan, kita dah buat di Petaling Jaya satu dan akan buat satu lagi.

"Cuma yang ini kos agak tinggi tetapi jualan dia bagus. Pulangan pelaburan lebih cepat. Tapak 8,000 kaki persegi lebih kurang 2,000 pokok ditanam. Tak sampai setengah ekar kita perlukan untuk tanaman ini," katanya.
Bagaimanapun MB menolak menggunakan konsep kebun komuniti seperti sebelum ini kerana penanaman melon memerlukan modal besar dan perlukan petani yang komited untuk mengusahakannya, berbanding konsep kebun komuniti menggunakan khidmat sukarelawan.
"Ini bukan kos rendah, kos tinggi perlukan rumah hijau, ini juga kali pertama kita guna sistem hidroponik.
"Kos RM500,000, kalau komuniti nak, kita boleh bantu. Tetapi tidak semua tempat kita boleh buat. Mungkin boleh adakan usahasama (dengan syarikat pertanian). Kita akan cari tanah, kita cari pengusaha yang sustain, ini bukan konsep kebun komuniti.
"Yang itu biar PBT aturkan. Itu untuk aktiviti sosial. Ini komersial dan kita tumpukan jualan," katanya lagi.
Comentários