Tanah wakaf masjid: Jangan semua isu pembangkang jadikan polemik politik
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebarang isu berkaitan tanah wakaf merupakan amanah ummah yang tidak seharusnya dijadikan modal politik bagi menanam kebencian atau memecahbelahkan masyarakat.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim yang merujuk kepada isu pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu.
Beliau yang menzahirkan rasa kesal apabila terdapat pihak yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan demi keuntungan politik menyifatkan polemik itu seharusnya menjadi titik muhasabah kepada semua pihak.
''Kami memandang serius isu pemilikan tanah masjid itu yang telah bertukar milik kepada individu bukan Islam.
''Kami menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) yang bertindak pantas dalam usaha menebus semula tanah tersebut bagi menjamin kelangsungan institusi masjid.
''Berdasarkan fakta sedia ada, tanah tersebut telah dijual oleh waris pewakaf bukan dirampas atau diambil paksa oleh kerajaan.
''Maka penyelesaiannya harus digerakkan secara kolektif, bukan dengan menabur tuduhan,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Khairol berkata pihaknya menggesa semua institusi masjid, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan Islam yang berada di atas tanah wakaf agar segera mendaftarkannya dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Katanya, pendaftaran itu merupakan satu-satunya jalan sah bagi memastikan tanah berkenaan dilindungi daripada sebarang pemindahan atau pelanggaran kepada niat pewakaf.
''Kami juga menyokong penuh cadangan agar sistem pendaftaran tanah wakaf di Perak ditambah baik dan dipermudah, dengan kerjasama rapat antara JAIPk, pejabat tanah dan MAIPk.
''Penguatkuasaan dan pemantauan berkala juga perlu diperluas bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang.
''Kami turut menyambut baik komitmen Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Perak yang tampil memberikan bantuan perundangan dan nasihat dalam isu ini.
''Tindakan sebegini mencerminkan semangat kerjasama antara profesional dan masyarakat demi memelihara institusi wakaf,'' ujarnya lagi.
Comments