Tanah diambil, pampasan dibayar zaman PN, keputusan tidak boleh diubah
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang Perikatan Nasional (PN) tidak sewajarnya mengambil kesempatan menunggang isu kononnya Kerajaan Perpaduan tidak mahu membantu menghalang tanah orang Melayu 'dirampas' di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Menurut aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali, realitinya tanah penduduk telahpun diambil paksa melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) pada 2021 dan pampasan telah dibayar ketika Kerajaan PN memerintah.
Katanya, setelah pampasan dibayar secara berperingkat antara Februari 2022 dan Januari 2023 bagi 110 unit iaitu 37 lot teres, 72 unit flat maka tiada lagi yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan yang memerintah, kerana antara Mac 2022 hingga Ogos 2023, Borang K (Notis Milikan Diambil) telah dikeluarkan dan sebahagian besar pembayaran pampasan dibuat sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada Disember 2022.
''Tarikh 11 Disember 2023 dan 27 Mac 2024 pula hanya tarikh serah geran, bukan keputusan politik kerajaan semasa, tetapi meneruskan prosedur pengambilan tanah selepas dibuat pada zaman PN.

''Tarikh ini hanya urusan pendaftaran hak milik kepada pemaju selepas kerajaan sudah pun ambil alih tanah.
''Ia prosedur teknikal yang melibatkan Pejabat Tanah dan Mahkamah melaksanakannya, bukan kabinet buat keputusan baru.
''Kerajaan Perpaduan tiada kuasa hendak menghentikannya kerana jika dibatalkan, kerajaan disaman oleh pemaju dan pemilik yang sudah menerima pampasan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, mendakwa Kerajaan PN yang mewartakan Seksyen 8, sekali gus menjadi pihak yang 'mengikat' rakyat Kampung Sungai Baru dalam isu pengambilan tanah tersebut.
Ujarnya lagi, PN lah yang 'menutup pintu' untuk mengembalikan tanah berkenaan selepas pewartaan Seksyen 8 dibuat dan bayaran dilunaskan.
''Jadi, PN jangan lepas tangan sekarang bila rakyat marah. Kerajaan PN tebuk atap 33 bulan dan Isham Jalil (aktivis politik) jangan putar belit.
''Apabila Seksyen 8 diwartakan, kerajaan selepas itu cuma mewarisinya, tak boleh undur lagi.
''Pampasan tanah majoriti dibayar zaman PN. Jadi kalau nak salahkan, salahkanlah kerajaan 33 bulan PN, bukannya zaman Kabinet Anwar jadi PM, yang hanya mengurus kesan keputusan lama.
''PN cuba cuci tangan seolah-olah tak pernah wartakan tanah itu dan salahkan Kerajaan sekarang,'' bidas beliau.
Dalam pada itu, beliau memuji tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang disifatkan bertanggungjawab terhadap nasib penduduk di kampung berkenaan.
Katanya, Dr Zaliha memastikan proses menyediakan penempatan sementara kepada penduduk yang telah berpindah dari premis, memastikan pampasan disalurkan, serta mencari jalan terbaik bagi mengurangkan beban kepada penduduk yang terkesan oleh proses pengambilan tanah itu.
Comments