Projek tambak laut di Pulau Pinang Selatan (PSI) yang kurang popular dalam kalangan penduduk setempat perlu mengambil kira bantahan yang disuarakan.
Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Kerajaan Negeri perlu mendengar luahan golongan nelayan yang terjejas sumber pendapatan berikutan projek tersebut dan kerajaan harus menjaga serta membantu komuniti yang terkesan sekiranya ingin diteruskan.
"Kita perlu dengar luahan nelayan kerana mereka pemegang taruh utama. Sebelum ini, saya juga sokong bantahan mereka kerana itu merupakan pendapatan utama mereka," jelas beliau.
Projek penambakan PSI bernilai RM10 bilion adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melalui penambakan tiga pulau seluas 1,620 hektar di luar Permatang Damar Laut.
Projek itu sebelum ini mendapat tentangan hebat daripada nelayan, pencinta alam sekitar, dan kumpulan pesara kerajaan G25 atas kebimbangan ia akan menjejaskan ekosistem marin.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dipetik laporan media berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar bagi projek tersebut dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.
Bagaimanapun tambah Muhammad Bakhtiar, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana beliau sendiri masih tidak tahu mengenai 71 syarat ditetapkan itu.
"Tak nak komen secara terperinci sedangkan kita masih tak tahu mengenai kandungan 71 syarat itu … saya yakin Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan kenakan syarat yang ketat mengenai kelulusan projek itu," katanya dipetik FMT.
Comments