Tambah peruntukan untuk unit D11 Bukit Aman - Nurul Izzah
- Suara Keadilan

- Aug 18
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan menambah peruntukan khusus kepada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11).
Beliau berkata, meskipun D11 memikul tanggungjawab besar di seluruh negara, bahagian itu masih berdepan kekangan serius termasuk jumlah anggota yang terhad serta peralatan usang yang masih digunakan.
"Ketika saya melawat bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama. Dengan sumber terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat
"Hampir semua pegawai dan kakitangan sokongan yang berkhidmat dalam unit ini adalah wanita. Namun, keadaan mereka serba kekurangan.
"Penambahan peruntukan kelak akan memperkukuh lagi siasatan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Nurul Izzah turut merujuk kepada kes tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan kes serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang kini diambil alih Bukit Aman untuk disiasat - membuktikan bahawa keselamatan anak-anak bukan lagi isu pinggiran, tetapi perkara mendesak yang mesti diberi perhatian serius.
Beliau turut memetik perbualan dengan Ketua Penolong Pengarah D11, Siti Kamsiah Hassan, yang menegaskan pegawai unit itu sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.
"Justeru sememangnya unit ini perlu diperkasa dengan kelengkapan moden dan anggota tambahan. Jangan biarkan mereka berjuang sendirian tanpa sokongan mencukupi.
"Anak-anak Malaysia adalah aset masa depan negara, dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi. Jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak bakal menjadi mangsa esok," tegasnya.









Comments