Oleh: Abdullah Zaid
Laluan khas bagi penunggang motorsikal wajar ditambah di kawasan bandar besar bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan dua roda itu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kerajaan perlu meningkatkan pembinaan laluan khas itu sebagai usaha mengurangkan kadar kematian penunggang dan pembonceng yang semakin membimbangkan, melibatkan 4,480 mangsa ketika ini.
"Ini bermakna setiap 2 jam, seorang penunggang motosikal maut. Oleh itu saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Kerja Raya supaya menambahkan lorong khas motorsikal.
"Lorong khas motorsikal memang banyak dibina di kawasan yang majoritinya menggunakan kenderaan dua roda, seperti Jepun, China dan Korea," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kadar kematian kemalangan jalan raya pada tahun lalu mencatat rekod paling tinggi sejak lima tahun iaitu sebanyak 6,643 rakyat maut ditimpa kemalangan.
"Ini bersamaan dengan 18 kematian direkod setiap hari, atau purata seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia (di jalan raya) setiap 80 minit," ujarnya.
Justeru, Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia itu menggesa kerajaan melengkapkan sistem pengangkutan awam di seluruh negara terutama di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.
Katanya, selain menumpukan projek-projek pengangkutan awam seperti MRT3, LRT di Pulau Pinang serta Johor Bahru, kerajaan juga pada masa sama perlu memperbanyak pembinaan lorong basikal, pejalan kaki dan kemudahan ‘First & Last Miles’.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pengangkutan diberikan mandat penuh untuk menguruskan bidang pengangkutan awam bagi mengurangkan kadar kemalangan pengguna jalan raya.
"Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) harus diperkasakan, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajib menyokong aspirasi tersebut melalui Jabatan Pengangkutan dan Perancang mereka.
"Segala pembangunan baru wajib disyaratkan supaya ada kecapaian Pengangkutan Awam," katanya lagi.
Cuba lihat laluan motorsikal di Federal Highway, adalah mereka gunakan?