Dr Lee Boon Chye menyifatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar perlu melakukan beberapa penambahbaikan terhadap sistem kesihatan negara ketika ini.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah menambah kemudahan hospital agar dapat menampung lebih ramai pesakit memandangkan risiko tinggi selepas sektor ekonomi dibuka.
Katanya, sistem kuarantin yang selamat di rumah juga perlu diwujudkan dengan menyediakan pasukan pemantau dalam kalangan doktor atau petugas kesihatan untuk memantau kadar oksigen dalam darah pesakit.
"Proses vaksinasi sepertimana dilakukan kerajaan sekarang haruslah ditambah baik dan prosesnya disegerakan secepat mungkin.
"Mereka yang belum divaksin atau tidak mendaftar sebagai penerima vaksin perlu dijadikan pioriti kerana kita tidak mahu kumpulan ini menjadi beban kepada perkhidmatan hospital-hospital dan mengakibatkan kematian," katanya.
Pada masa sama, Dr Lee menganggap pendekatan menyasarkan untuk menurunkan kes kematian pesakit tanpa rawatan hospital atau brought-in-dead (BID) adalah satu pendekatan yang wajar.
Katanya, perkara itu adalah isu penting yang harus ditangani segera kerana menjadi penanda aras kepada sistem perkhidmatan kesihatan yang ketika ini berada dalam keadaan tertekan.
Tambahnya, dengan keadaan di mana ramai pesakit Covid-19 tidak sempat mendapatkan rawatan ke hospital atau tidak mahu ke hospital, menunjukkan berlaku kegagalan dalam sistem sedia ada dalam menguruskan pandemik itu.
"Saya mengikuti janji dan apa yang disebut oleh Menteri Kesihatan yang mahu mengurangkan BID.
"Saya setuju dengan beliau bahawa perkara itu harus diteliti dengan baik kerana daripada apa yang kita tahu kesnya sudah berada pada tahap membimbangkan.
"Namun dalam perkara ini perlu ada penambahbaikan dilakukan agar benar-benar memberi kesan terutama dalam menangani wabak Covid-19," katanya.
Comments