top of page

Tambah bantuan tanpa cukai baharu, kejayaan belanjawan seimbang Kerajaan Madani

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 14
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Belanjawan 2026 bernilai RM470 bilion yang dibentangkan Kerajaan Madani disifatkan sebagai langkah berani dan berhemah apabila berjaya menambah pelbagai bantuan rakyat tanpa mengenakan sebarang cukai baharu atau menaikkan kadar cukai sedia ada.


Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai (gambar) berkata, pendekatan ini dilihat sebagai bukti kejayaan kerajaan mengekalkan keutamaan terhadap kebajikan rakyat, walaupun dalam suasana ekonomi global yang mencabar.


"Kerajaan berjaya mengolah belanjawan kali ini dengan seimbang yang dilihat bersifat pengembangan (expansionary) tetapi masih mengekalkan disiplin fiskal dan tidak membebankan rakyat dengan cukai tambahan.


"Kerajaan cuba memenuhi dua matlamat yang nampak bertentangan. Satu, mengekalkan bajet berhemah dengan defisit terkawal sekitar 3.5 perattus. Dan pada masa sama, memastikan belanjawan ini bersifat pengembangan dengan perbelanjaan yang meningkat kepada RM470 bilion berbanding RM423 bilion sebelum ini," katanya kepada Suara Keadilan.


Menurut beliau, sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan dilaksanakan melalui kerjasama dengan GLC dan GLIC bagi melaksanakan projek-projek besar seperti ECRL dan Lebuh Raya Pan Borneo, sekali gus menjana pulangan ekonomi secara komersial tanpa menambah beban kepada perbelanjaan rasmi kerajaan.


"Jumlah sebenar perbelanjaan rasmi kerajaan sekitar RM413 bilion, manakala kira-kira RM50.2 bilion lagi melibatkan inisiatif pembangunan oleh GLC dan GLIC. Ini cara kreatif kerajaan memastikan ekonomi terus berkembang tanpa meningkatkan defisit fiskal," jelas beliau.


Dr Barjoyai turut menyambut baik langkah kerajaan menambah peruntukan kepada sektor pembangunan insan seperti TVET yang menerima lebih RM7.8 bilion, bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tidak mahir yang kini membentuk 70 peratus daripada tenaga kerja negara.


"Program TVET ini bukan sekadar latihan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk menaik taraf kemahiran pekerja agar gaji mereka tidak lagi di bawah paras kemiskinan. Kesannya akan dilihat dalam dua hingga tiga tahun akan datang," ujarnya.


Selain itu, katanya, Belanjawan 2026 turut memperkukuh perlindungan sosial dengan pelbagai inisiatif termasuk bantuan tunai kepada isi rumah pada Februari depan, penerusan Program Payung Rahmah dan subsidi yang meningkat lebih RM20 bilion.


"Kerajaan bukan sahaja meningkatkan siling perbelanjaan melalui projek pembangunan, tetapi juga menaikkan lantai dengan menambah bantuan dan subsidi kepada golongan B40 serta isi rumah berpendapatan rendah," katanya.


Beliau turut menyifatkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM380 bilion sebagai langkah yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui kesan pengganda (multiplier effect), termasuk kenaikan elaun doktor dan bantuan tambahan kepada pesara serta penjawat awam.


"Langkah-langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, seterusnya memperkukuh perbelanjaan isi rumah dan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara," tambah beliau.


Dr Barjoyai menegaskan, ketiadaan cukai baharu dalam belanjawan ini membuktikan keupayaan kerajaan mengurus fiskal secara bijak sambil mengekalkan fokus terhadap kesejahteraan rakyat.


"Ini belanjawan yang seimbang, rakyat tidak dibebankan, ekonomi terus berkembang, dan kebajikan terus dijaga. Ia satu pendekatan yang sangat progresif dan berpandangan jauh," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page