Tambah baik undang-undang e-dagang, kekang produk asing tidak terkawal
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan akan mempercepat penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang termasuk memperketat peraturan bagi mengekang kemasukan produk asing secara tidak terkawal hingga menjejaskan peluang peniaga tempatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata perkembangan pesat perdagangan digital memerlukan peraturan yang mampu memudahkan perniagaan namun pada masa sama memastikan pengguna serta peniaga tempatan mendapat perlindungan sewajarnya.
Undang-undang berkaitan perdagangan elektronik yang diperkenalkan sejak 2006 sedang ditambah baik bagi memenuhi perubahan landskap perniagaan digital ketika ini, katanya.
"Kalau perlu undang-undang e-dagang untuk luluskan akta baharu, kita lulus, depan semua anak-anak saya beri arahan cepatkan peraturan itu kerana anak-anak mahu satu peraturan cepat, so make sure it's done fast," katanya ketika berucap pada TikTok Summit Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, sambil disambut dengan tepukan tanda setuju anak-anak muda.
Menurut Anwar, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan bebas sememangnya membuka ruang kepada perdagangan antarabangsa namun perkembangan pesat platform digital menyebabkan kemasukan produk dari luar semakin bercambah.
Beliau berkata keadaan itu perlu diberikan perhatian khusus apabila terdapat produk yang ditawarkan pada harga terlalu rendah sehingga boleh memberi kesan kepada kemampuan peniaga tempatan untuk bersaing.
"Malaysia ini negara dikatakan dagang bebas maknanya ruang dibuka bagi siapa sekarang ni bila ada digital dan online nampak kemasukan itu sudah bercambah kita tak boleh jaga mutunya dan kadang-kadang kos paling rendah sekarang dia panggil dumping supaya dapat capture the market," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menerima maklumat mengenai terdapat syarikat atau perniagaan tertentu yang beroperasi menggunakan nama peniaga tempatan sedangkan produk yang dipasarkan dibawa masuk dari luar negara.
Malah kata beliau terdapat pelaburan berskala besar yang menggunakan gudang di negara ini untuk membawa masuk dan mengedarkan produk asing tanpa memberikan manfaat sewajarnya kepada pekerja mahupun produk tempatan.
"Saya dapat banyak maklumat orang kadang-kadang register syarikat kecil kedai kopi guna nama peniaga tempatan yang kerja dia jual itu kopinya, tehnya, biskutnya semua import, dia tak ada langsung faedah daripada tempatan.
"Ada investment besar masuk dia sewa warehouse di pelabuhan KL dia bawa situ sewa kemudian dia eksport tak ada langsung keperluan ambil pekerja tempatan ataupun produk tempatan," katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkembangan perdagangan digital tidak akhirnya menyempitkan peluang anak tempatan untuk berniaga.
Menurut beliau, pegawai penguat kuasa sudah mengambil beberapa tindakan berhubung perkara berkenaan namun kerajaan melihat keperluan mewujudkan sekatan dan peraturan yang lebih berkesan.
Beliau berkata kawalan terhadap produk asing juga penting bagi memastikan aspek mutu, kesihatan dan jaminan halal dapat dipantau selain melindungi pengguna daripada produk yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan.
"Saya setuju pada dasar kita harus ada peraturan yang lebih ketat mengekang atau menyekat kemasukan yang tanpa terkawal produk asing kerana selain kita campaign buy local we have to make sure that the system protect the interest of our local businesses," katanya.




Comments