
Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan perkhidmatan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) pada 1 Januari lalu merupakan langkah yang tepat bagi menjimatkan kewangan negara.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, selama ini pun PeKT memang tidak membawa banyak kebaikan kepada masyarakat setempat kerana gerak kerjanya lebih berunsurkan politik pro Perikatan Nasional (PN).
"Apa yang dilakukan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican menamatkan perkhidmatan anggota PeKT seluruh negara atas alasan kerajaan mahu menyalurkan peruntukan kepada sektor yang lebih penting adalah tepat.
"Malah saya melihat tindakan ini juga sebagai satu langkah drastik dari BN untuk menyekat PeKT yang sebelum ini dilihat sebagai alat politik PN dalam menyalurkan peruntukan kerajaan dari wang pembayar cukai kepada para penyokong mereka," kata Halimey.
Menurut Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu lagi, PeKT yang diilhamkan oleh bekas Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin itu sejak penubuhannya pada 2020 dilihat bertindih peranan dengan Pihak Berkuasa Tempatan.
Malah, katanya, di sesetengah kawasan PeKT memecahbelah dan mengelirukan masyarakat.
"Secara positif, penamatan perkhidmatan PeKT yang dibuat lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022 merupakan satu tindakan wajar kerana halatuju yang tidak jelas di samping bertindih dengan tugas Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
"Hal ini jelas kerana PeKT hanya wujud di negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan," jelasnya.
Dengan menamatkan PeKT, tambah Halimey, Kerajaan Persekutuan boleh menghemat kewangan kerana ratusan anggota latikan tersebut dibayar gaji RM2,000 sebulan dan diberi peruntukan RM10,000 setahun.
Mengenai pertembungan yang lebih hebat akan berlaku di antara PN dan BN selepas ini, Halimey tidak menolak hal itu kerana BN dilihat cuba untuk mensabotaj PN di peringkat akar umbi.
"Penamatan PeKT mungkin akan melumpuhkan jentera propaganda politik PN dan menimbulkan persoalan sejauh mana kejujuran BN dalam kerjasama dengan PN di peringkat Persekutuan. Keputusan ini tentunya mempunyai impak yang besar," katanya lagi.
Commentaires