Tamat kerjasama: 'Bersatu tersalah langkah, Pas tinggalkan kawan'
- Akmal Manaf

- Jun 9
- 2 min read

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan mesyuarat Pas malam tadi mungkin menjadi petunjuk jelas bahawa Bersatu telah tersalah menilai kepentingan sebenar parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, tanda-tanda amaran sudah semakin jelas kelihatan apabila pemimpin Pas tidak lagi menyembunyikan rasa kecewa mereka terhadap Bersatu.
Katanya, kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai kepercayaan yang telah terjejas bukanlah hanya retorik politik sebaliknya ia adalah satu serangan terus kepada Bersatu.
"Dalam politik, apabila kepercayaan telah musnah, ucapan dan sidang media hanyalah bunyi bising yang tidak lagi membawa makna.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh terus mengulangi seruan untuk mengukuhkan hubungan, namun Pas jelas menilai tindakan, bukannya kata-kata manis.
"Bersatu terlupa satu hakikat penting sejak awal lagi. Mereka lebih banyak menumpang jentera Pas berbanding Pas menumpang kepimpinan Bersatu.
"Tanpa akar umbi Pas, Bersatu tidak akan pernah kelihatan sekuat yang mereka nampak selepas Langkah Sheraton," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lokman lagi, Pas memiliki jentera di seluruh negara, petugas akar umbi yang setia serta operasi pilihan raya yang tersusun, manakala Bersatu pula hanya mempunyai tajuk utama media dan jawatan perdana menteri
Pengarah Komunikasi UMNO itu menambah, ketidakseimbangan tersebut jelas sejak hari pertama lagi, tetapi Bersatu bertindak seolah-olah mereka pemilik mutlak gabungan tersebut.
"Kini, bil politik itu mula dituntut. Pemimpin Pas secara terbuka mempersoalkan kesetiaan dan keikhlasan Bersatu.
"Isu Perlis menjadi titik hitam terakhir yang sukar diabaikan oleh ramai dalam Pas. Tindakan tergesa-gesa untuk mengetengahkan pengganti Menteri Besar ketika Pas masih memegang jawatan tersebut, menimbulkan syak wasangka yang mendalam dalam kalangan pimpinan parti itu.
"Kesilapan terbesar Bersatu adalah mempercayai bahawa Pas akan selama-lamanya menerima layanan sebagai rakan kongsi kelas kedua.
"Pas mungkin bergerak perlahan, tetapi apabila parti itu merasakan dirinya dikhianati, amat sukar untuk memulihkan semula keyakinan yang hilang," ujarnya lagi.
Malam tadi, Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas membuat penilaian terhadap kedudukan dan hala tuju hubungan antara kedua-dua parti itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan semalam.
"Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas–Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa, menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu," jelasnya dalam satu kenyataan.




Comments