Tamat kehadiran tentera asing, bentuk pakatan keselamatan negara Islam - MAPIM
- Redzuan Shamsudin

- Mar 23
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa negara-negara Islam menamatkan kehadiran pangkalan tentera asing di rantau Asia Barat serta segera membina pakatan keselamatan sendiri demi kedaulatan dan kestabilan ummah.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya menyokong penuh seruan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian agar satu struktur keselamatan Islam diwujudkan bagi menggantikan kebergantungan terhadap kuasa luar.
"MAPIM menegaskan kehadiran tentera asing di negara Islam bukan lagi pilihan strategik, tetapi punca utama ketidakstabilan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, ketika ini Amerika Syarikat (AS) mempunyai sekurang-kurangnya 19 lokasi ketenteraan di Asia Barat dengan anggaran 40,000 hingga 50,000 anggota ditempatkan di beberapa negara Islam. Antaranya, Kuwait ~13,500 tentera, Qatar ~8,000 hingga 10,000 tentera, Bahrain ~5,000 hingga 7,000 tentera, UAE ~3,500 tentera, Jordan ~3,000 tentera, Iraq ~2,500 tentera, dan Arab Saudi ~2,000 hingga 2,700 tentera
Beliau berkata, situasi itu menjadikan wilayah Islam sebagai medan operasi ketenteraan kuasa besar, sekali gus mendedahkan negara terbabit kepada risiko serangan balas dalam konflik global.
"Tanah umat Islam hari ini menjadi pusat operasi ketenteraan asing digunakan untuk melancarkan serangan ke atas negara Islam lain dan dijadikan sasaran balasan dalam konflik global.

"Negara Islam bukan lagi pemain, tetapi medan permainan kuasa besar," sinisnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kehadiran tentera asing yang kononnya bertujuan menjaga keselamatan gagal mencapai matlamat tersebut.
Sehubungan itu, MAPIM menggesa pelan pengunduran berperingkat tentera asing dalam tempoh tiga hingga lima tahun serta pembentukan pakatan keselamatan Islam yang merangkumi pertahanan kolektif, perkongsian risikan dan latihan ketenteraan bersama.
Selain itu, beliau turut menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar dengan fokus khusus kepada agenda keselamatan ummah.
"Ini bukan lagi soal retorik, tetapi soal kedaulatan, maruah dan keselamatan sebenar. Dunia Islam mempunyai kekuatan besar, namun gagal dimanfaatkan kerana perpecahan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa kesatuan dalam kalangan negara Islam adalah kunci utama untuk keluar daripada kebergantungan terhadap kuasa asing.
Azmi juga menggesa OIC agar segera mengadakan sidang tergempar.
"Agenda tunggal iaitu keselamatan ummah dan pelan tindakan wajib, bukan sekadar resolusi
"MAPIM menegaskan selagi umat berpecah pangkalan asing akan kekal, konflik akan berterusan dan kedaulatan tidak akan tercapai," katanya lagi.




Comments