top of page

'Parti jalin hubungan dengan Pas dapat pengalaman pahit'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Jun 10
  • 2 min read

Pas didakwa mempunyai pendekatan politik yang menyukarkan pembentukan kerjasama jangka panjang apabila kepentingan parti sering mengatasi kepentingan gabungan.


Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Ustaz Amidi Abdul Manan menegaskan, asas kepada sebarang penyatuan politik untuk memerintah ialah kebaikan dan ketakwaan seperti yang dituntut al-Quran.


"Apa yang dimaksudkan sebagai kebaikan ini ialah benda-benda yang mendatangkan faedah, ketakwaan pula adalah sikap kita (seperti) kejujuran.


"Jadi dua formula ini sebenarnya yang boleh mengekalkan gabungan atau kerjasama, tapi bila kita lihat sikap Pas yang sebegini, sebenarnya kebaikan yang diletakkan kepada dia, apabila Pas meletakkan bahawa Islam itu Pas, Pas itu Islam.

Amidi Abdul Manan
Amidi Abdul Manan

"Pada Pas, apa-apa sahaja yang mendatangkan keuntungan kepada dia, itulah yang mendatangkan keuntungan kepada Islam.


"Jadi takrifan yang sempit ini yang sebenarnya membuatkan jalinan kerjasama itu sukar nak dipertahankan (jika bertentangan dengan pemahaman Pas)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai sikap Pas yang sudah beberapa kali bersekutu dan 'bercerai' sejak 1999 termasuk bersama Pakatan Rakyat (2008 - 2014) selain keputusan terbaharu parti itu memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.


Mengulas lanjut, Amidi berkata ramai pihak sukar mempertahankan kerjasama dengan Pas apabila unsur kejujuran dan keikhlasan tidak wujud dalam hubungan yang dijalinkan dengan parti itu.


"Kebanyakan yang menjalinkan hubungan dengan Pas ini mendapat pengalaman yang pahit dan kebanyakan yang kita tengok sekarang ini pula, kesemua (parti politik) pernah menjalin hubungan dengan Pas sebanyak sekali.


"Melainkan UMNO yang nak buat kali kedua, jadi saya melihat bahawa sama ada UMNO akan mendapat ‘patukan’ daripada lubang yang sama atau UMNO memang sengaja untuk tidak mahu mengambil iktibar daripada sejarah," katanya lagi.


Untuk rekod, sepanjang era Reformasi Pas bersama beberapa gabungan tetapi tidak bertahan lama selepas beberapa tahun. Pas menyertai Barisan Alternatif dengan komponen KeADILan dan DAP pada 1999. Pada 2001 DAP meninggalkan gabungan berikutan sikap Pas tegar dengan isu Negara Islam. Pada 2008 gabungan Pakatan Rakyat terbentuk namun Pas berbalah lagi dengan DAP pada hujung 2013, menyebabkan gabungan terbubar pada 2014.


Seterusnya Pas mentertai Muafakat Nasional bersama UMNO pada 2020. Namun gabungan itu terungkai apabila Pas dalam masa sama menyertai Perikatan Nasional bersama parti yang banyak pemimpinnya bekas UMNO, iaitu Bersatu. MN runtuh menjelang Pilihan Raya Umum November 2022.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page