Tamat doktor kontrak: Hartal Doktor Kontrak puji tekad politik Kerajaan MADANI


Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyambut baik komitmen kerajaan untuk menamatkan sistem doktor kontrak seperti diumumkan pada Belanjawan 2027 minggu lalu.
HDK berkata, sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2016, ribuan doktor mengharungi fasa ketidakpastian selama bertahun-tahun, malah ramai memilih meninggalkan perkhidmatan awam demi mencari peluang dan masa depan yang lebih terjamin.
Justeru pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa lebih 9,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap disifatkan perkembangan penting dalam usaha memberikan kepastian kerjaya kepada warga perubatan negara.
"Selepas hampir sedekad berdepan ketidakpastian, perkembangan ini membawa harapan baharu kepada doktor yang sekian lama memperjuangkan perubahan sistem berkenaan.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI atas iltizam politik untuk menangani isu yang sekian lama membebani profesion perubatan.
"Keberanian dan kepimpinan diperlukan untuk merintis perubahan terhadap sistem yang berlarutan selama sedekad demi masa depan yang lebih adil buat para doktor," katanya dalam kenyataan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2027 turut memaklumkan sejak 2023, Kerajaan MADANI telah melantik secara tetap lebih 15,000 doktor kontrak, termasuk 4,000 pada tahun ini.
Sementara itu, HDR menerusi kenyataan sama turut menegaskan bahawa pengumuman tersebut hanyalah langkah permulaan. Kejayaan sebenar usaha tersebut bergantung pada pelaksanaan yang berkesan, proses yang telus dan hasil yang dapat dirasai oleh doktor terlibat.
"Garis masa pelaksanaan jelas, kriteria kelayakan yang adil dan pengiktirafan sewajarnya terhadap doktor yang bertahun-tahun berkhidmat secara kontrak amat penting bagi memastikan tiada sesiapa pun tercicir.
"Penamatan sistem doktor kontrak juga perlu menjadi sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk menambah baik keadaan kerja, memperkukuh laluan kemajuan kerjaya dan mengekalkan doktor berpengalaman dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara," ujar mereka.




Comments