TalentCorp–Yayasan Peneraju meterai MoU perkasa bakat Bumiputera
- Suara Keadilan

- Jan 13
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Yayasan Peneraju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat Bumiputera dalam industri digital dan sektor pertumbuhan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Edward Ling, berkata kerjasama strategik itu bakal memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan keperluan industri dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI), teknikal dan profesional.
"Kerjasama ini turut melengkapi usaha terkini Yayasan Peneraju dalam memperluas akses kepada pembangunan kemahiran berimpak tinggi melalui pembiayaan tanpa faedah bagi peningkatan kemahiran AI dan teknologi,
"Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan pembangunan bakat yang lebih berkualiti, relevan dan memberi impak kepada pasaran buruh selaras agenda pembangunan tenaga kerja nasional," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kerjasama rintis antara TalentCorp dan Yayasan Peneraju pada tahun 2025 telah berjaya melatih dan menempatkan 159 peserta Bumiputera ke dalam peluang pekerjaan, dengan gaji permulaan mencecah RM5,000.
"Ini menunjukkan kepentingan model pembangunan bakat yang mengutamakan kebolehpasaran dan penempatan kerja sebenar, bukan sekadar latihan semata-mata," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, MoU ini menyokong sasaran melahirkan 10,000 bakat Bumiputera dalam sektor berpertumbuhan tinggi menerusi ekosistem bersepadu melibatkan pembiayaan, pembangunan kemahiran dan penglibatan majikan.
Menerusi perjanjian ini, kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam penyelidikan dan risikan kemahiran, dengan pemantauan berstruktur bagi memastikan pelaksanaan berkesan dan impak jangka panjang kepada pasaran buruh negara.




Comments