Profesional perubatan: TalentCorp sambut baik arahan teliti permohonan REP
- Azuan Ab Rahman

- 1 day ago
- 1 min read

Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar proses permohonan kepakaran rakyat Malaysia di luar negara termasuk sektor perubatan dan penjagaan kesihatan diteliti secara menyeluruh.
Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu berkata, sejak Program Kepulangan Pakar atau Returning Expert Programme (REP) dilaksana pada 2011, TalentCorp menerima 774 permohonan dalam kalangan profesional perubatan dan penjagaan kesihatan.
Daripada jumlah tersebut, 495 permohonan telah diluluskan dengan 351 pemohon telah kembali ke Malaysia.
"Memandangkan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan tertakluk di bawah kawal selia badan profesional, setiap permohonan bagi kategori ini perlu melalui penilaian teknikal tambahan daripada Joint Working Committee for Healthcare Talent (JWC-HT).
"Ini turut melibatkan keperluan pendaftaran profesional untuk menjalankan amalan perubatan di Malaysia. Ini termasuk, jika berkenaan, pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan National Specialist Register (NSR)," kata agensi itu menerusi satu kenyataan.
Sementara itu TalentCorp memaklumkan, pihaknya bakal menjalin kekerjasama lebih rapat dengan kementerian serta badan kawal selia dan profesional berkaitan bagi menambah baik keseluruhan proses kepulangan profesional terbabit.
"TalentCorp komited memudah cara kepulangan profesional Malaysia yang ingin kembali menyumbang kepakaran dan pengalaman, di samping memastikan keperluan profesional serta piawaian kawal selia yang ditetapkan terus dipatuhi.
"Sebagai sebahagian usaha ini, TalentCorp berhasrat untuk bekerjasama dengan KKM menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh penyelarasan dan membolehkan proses yang lebih pantas serta cekap untuk semua pihak berkaitan," tambah mereka.
TalentCorp turut memaklumkan, pihaknya sudah melaksanakan libat urus bersama KKM bagi meneliti proses REP untuk pegawai profesional perubatan dan penjagaan kesihatan.
Ia termasuk sesi libat urus bersama Ketua Setiausaha KKM pada 22 Jun 2026, serta mesyuarat bersama anggota JWC-HT yang dijadualkan pada 21 Ogos 2026.




Comments