Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia semalam.
Katanya, KEADILAN akan meneruskan perjuangan membela rakyat di DUN berkenaan dengan meletakkan calon anak tempatan dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan kelak di N58 Slim.
"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga waris ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia.
"Parti KEADILAN akan mempertahankan legasi arwah dengan mencalonkan seseorang dari kawasan setempat. Kita akan meneruskan usaha membela nasib rakyat sebagai pembangkang ketika waktu yang mencabar ini.
"Ketika negara mengalami krisis Covid-19 dan rakyat sedang menghadapi kemelut ekonomi, gerakan Reformasi akan diteruskan demi suara KEADILAN," katanya dalam satu kenyataan.
DUN Slim merupakan salah satu daripada dua DUN dalam Parlimen Tanjong Malim. Slim merupakan satu-satunya DUN yang dikuasai Umno.
Manakala DUN Behrang dimenangi Aminuddin Zulkipli dari Amanah dan Parlimen pula berjaya dirampas oleh Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang.
Comments