Rang Undang undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti yang menjadi tanda tanya sejak sebulan lalu hari ini telah menemui kepastian akan diluluskan sebulan daripada sekarang.
Ahli Parlimen Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH - Kulim Bandar Baru) berkata, ucapan penghargaan wajar ditujukan kepada Perdana Menteri kerana telah memenuhi janji sebagaimana persetujui dalam Memorandum Kerjasama (MoU) Pakatan Harapan - Kerajaan Persekutuan berhubung masalah lompat parti.
Katanya, hanya takrif lompat sahaja selepas ini yang akan diperbincangkan sebelum RUU berkenaan dibentang dan diluluskan.
"Sebagai orang yang terlibat secara langsung mewakili PH, bermula kepada MoU sehingga terbentuknya Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal, saya dapati bahawa sesi libat urus itu amat menyeluruh.
"Hampir kesemua yang terlibat itu setuju peri pentingnya akta ini diadakan dan memahami sentimen rakyat yang mengkehendaki itu berlaku.
"Yang berbeza adalah definisi lompat itu. Hal itu mengikat perbincangan, ada beberapa kategori yang kita bincang," katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat hari ini.
Namun, menurut beliau yang menjadi wakil utama perbincangan antara PH dan Kerajaan Persekutuan itu, ada beberapa perkara telah dipersetujui secara umum.
"Pertama, kita bersetuju seorang Ahli Parlimen yang tinggalkan parti masuk parti lain. Yang itu semua setuju adalah lompat parti. Kedua Ahli Parlimen dipecat, secara prinsip dia dipecat, atau pun seorang dipecat kerana mengundi dalam Parlimen bertentangan whip partinya. Contoh seperti di New Zealand, Britain India dan sebagainya boleh diperbincangkan.
"Dan ketiga, Ahli Parlimen menang dengan sesuatu parti kemudian pilih Bebas atau seorang individu Bebas kemudian menyertai parti politik. Ini antara syor yang kita mulakan.
"Juga jika sebuah parti terbubar apakah Ahli Parlimen kekal atau dianggap lompat. Itu kita anggap tak masuk kategori lompat," katanya.
Bagaimanapun, beberapa tafisiran lain dalam kedudukan yang tertentu masih diperbincangkan terutama jika parti politik tinggalkan satu badan gabungan, misalnya Pas yang bersama PN namun beralih pilih masuk BN. Situasi seperti itu juga perlu diperbincangkan.
Saifuddin percaya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selepas ini akan lebih mudah untuk memfokuskan perbincangan setelah mempunyai asas yang jelas dan mungkin boleh menyelesaikannya dengan cepat.
"Apabila kita bersetuju tubuh PAC, saya percaya prosesnya ringan dan tidak terbeban kerana kita dengan kosng bukan mula dengan vakum.
"Apabaila komitmen diberikan kerajaan untuk mengadakan sidang khas Parlimen akhir Mei, saya anggap ia satu tempoh yang agak munasabah untuk kita lakukan bersama.
"Kalau nanti diluluskan di Parlimen, berlaku pindaan Perlembagaan dan RUU anti lompat pendirian kita tidak berubah. Kita kekal menyokong usaha mewujudkan RUU ini," katanya.
Selepas itu menurut Saifuddin, PH akan cuba mengusahakan negeri negeri di bawah PH segera meluluskan enakmen di peringkat negeri.
Sementara itu, Ahli Parlimen William Leong Jee Keen (PH-Selayang) pula berkata Akta Anti Lompat Parti bukanlah hal asing di mana mana negara di dunia.
Katanya, dalam negara Komanwel pun 50% daripada anggotanya mempunyai akta yang sedemikian.
"Pindaan Fasal 3a tidak akan menjejaskan kerangka asal Perlembagaan. Pindaan ini untuk membetulkan kesilapan yang berlaku dalam kehakiman Mahkamah Persekutuan berkenaan Dewan Undangan Negeri Kelantan, kes Nordin Salleh.
Comments