Taklimat Khas Umno: Himpunan memperlekeh martabat institusi keadilan negara
- Suara Keadilan

- Aug 28, 2022
- 2 min read
Updated: Aug 29, 2022

Majlis Taklimat Khas Presiden Umno di PWTC malam tadi hanya berkisar kepada satu agenda, iaitu membela Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak dan merendah rendahkan martabat institusi kehakiman negara.
Bagi Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) Amanah, Dr Zulqarnain Lukman, sebagai parti memerintah Umno tidak sewajarnya menganjurkan majlis taklimat yang memburuk burukkan institusi kehakiman dan Peguam Negara di mata ahli ahli parti.
Katanya, perbuatan itu seolah olah mengiktiraf Najib yang dijatuhkan hukuman bersalah oleh 9 hakim, bermula Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebagai seorang yang mulia, sebaliknya para hakim difitnah dengan pelbagai tohmahan.
"Orang yang telah disabitkan oleh mahkamah ini telah disanjung sebegitu tinggi dengan pelbagai naratif kononnya penjenayah ini tidak mendapat perbicaraan yang adil dan telah dinafikan hak sebagai tertuduh, sedangkan hakikatnya beliau telah diberikan peluang yang seluas-luasnya untuk membela diri.
"Malang sekali, penjenayah ini lebih memilih untuk membela diri di Facebook berbanding mengemukakan pembelaan di dalam mahkamah.
"Taklimat khas Umno itu menzahirkan kebobrokan mereka terhadap kuasa politik, dengan berbuat pelbagai desakan (ke atas institusi kehakiman) sama ada secara sah mahupun serangan dalam gelap melalui pelbagai media hantu daripada blogger-blogger politik," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Zulqarnain dalam pada itu kecewa kerana dalam kalangan penjawat awam yang berada dalam institusi kehakiman turut bersekongkol mensabotaj pihak mahkamah apabila mencuri draf alasan penghakiman ke atas Najib dan mendedahkan kepada orang awam sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan diumumkan.
Menurut Pengerusi KANUN itu, perbuatan sedemikian tidak harus berlaku. Sedangkan, katanya, rakyat Malaysia yang menjunjung keadilan masih belum boleh lupa peristiwa Datuk Seri Najib Razak memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan menggantikannya dengan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang begitu beria-ia membersihkan Perdana Menteri daripada kesalahan berkaitan 1MDB dan SRC suatu ketika dahulu.
"Oleh itu, KANUN menyeru semua penjawat awam supaya menunaikan amanah dalam pentadbiran dan tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan terdesak di kalangan orang Umno yang masih menyanjung penjenayah yang sudah dibuktikan melalui proses Mahkamah.
"KANUN juga berharap para hakim tidak gentar dan berasa terancam dengan sikap pelahap Umno terhadap kuasa. KANUN juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia dalam memberikan pengampunan segera kepada penjenayah sebelum mereka insaf dan bertaubat dan terlebih dahulu sepanjang tempoh menjalani hukuman," katanya.
Selain itu, KANUN, mengecam sikap sekutu Umno, iaitu parti Islam Pas dan Bersatu yang tidak menyatakan pendirian tegas mengenai 'amal makruf nahi munkar' dalam isu Najib.
"KANUN kecewa kerana rakan politik Umno yang bersama dalam kerajaan iaitu Pas dan Bersatu tidak tegas menyatakan pendirian mereka terhadap jenayah terbesar dan memalukan negara di mata dunia apabila seorang yang berjawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tergamak menyalahgunakan kuasa dan melakukan penggubahan wang haram sebanyak RM 42 juta.
"KANUN menyatakan tindakan kedua-dua parti ini bekerjasama dengan Umno dalam Langkah Sheraton adalah kesilapan politik terbesar sehingga menyebabkan institusi pentadbiran keadilan dihina sebegini rupa pada hari ini.
"Kami menyeru supaya rakyat Malaysia berdiri teguh menolak Umno-BN dalam PRU 15. Akibat buruk akan menunggu rakyat sekiranya Umno-BN sekali lagi diberikan kuasa memerintah dengan kemusnahan pelbagai institusi penting negara dan wang negara akan dijarah tanpa rasa malu," kata Zulqarnain lagi.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam PRU 15 ini bagi membersihkan negara daripada kemusnahan akibat korupsi dan salah guna kuasa.




Comments