Takiyuddin hadir sidang media, kenapa nafi ada kaitan dengan Waytha Moorthy?
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menafikan sebarang kaitan antara gabungan itu dengan saman difailkan P Waytha Moorthy terhadap Perdana Menteri (PM) berhubung keabsahan jawatan, mencetuskan tanggapan bahawa ianya mungkin cubaan melarikan diri daripada bayang-bayang sendiri.
Itu pendapat yang dilontarkan oleh Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) terhadap Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN.
''Datang sidang media (Takiyuddin) orang saman PM tapi kata tak terlibat. Ini bukan politik matang, ini politik pura-pura.
''Fakta mudah, Takiyuddin hadir dalam sidang media Waytha Moorthy. Kehadiran seorang pemimpin kanan PN di pentas yang sama pada isu sebesar ini bukan sekadar 'tersinggah minum kopi'.
''Ia adalah isyarat sokongan politik yang jelas kepada tindakan saman tersebut. PN tidak boleh berlakon seolah-olah mereka tidak tahu, sedangkan pemimpin tertinggi mereka berada di barisan hadapan acara itu,'' tempelak beliau dalam satu kenyataan.
Mahfuz menyifatkan perkara itu bukan kali pertama PN cuba bermain silap mata terhadap rakyat, dengan mengatakan sesuatu di hadapan tetapi melakukan perkara sebaliknya di belakang.
''Kalau hadir sidang media bukan tanda sokongan, satu hari nanti tak mustahil Takiyuddin hadir mesyuarat DAP pula. Lepas itu kata tak terlibat.
''Kalau betul PN tidak terlibat, mengapa Datuk Takiyuddin sendiri hadir (sidang media)?
''Adakah ini strategi politik untuk menyerang PM (Anwar) melalui pihak ketiga sambil berselindung di balik tabir?'' soal beliau.
Dalam pada itu, mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, politik 'pura-pura' seperti itu membuktikan PN sanggup menggunakan sesiapa sahaja sebagai 'alat' demi memenuhi agenda meskipun terpaksa memutar belit fakta di hadapan rakyat.
''Kalau berani, akui sahaja pendirian. Jangan hadir sidang media pihak yang menyaman PM, kemudian berpura-pura tiada kaitan. Rakyat tidak bodoh untuk percaya skrip drama politik seperti ini.
''Takiyuddin ini macam pelakon tambahan. Ada dalam babak penting, tapi lepas itu kata dia cuma lalu di tepi set,'' katanya lagi.
Комментарии