Takiyuddin akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
- Suara Keadilan
- 23 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, usul itu dibuat susulan daripada kenyataan berunsur fitnah yang dibuat Takiyuddin mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 22 Oktober 2025.
"Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.
"Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di dalam Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Saifuddin berkata, Kerajaan MADANI percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan.
Katanya, kerajaan turut menegaskan bahawa Parlimen ialah sebuah institusi yang mulia dan berwibawa, justeru tidak wajar dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara.
"Kerajaan MADANI kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, serta memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen," ujarnya lagi.
Usul berkenaan sebelum ini dibawa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah susulan dakwaan Takiyuddin mengenai satu kejadian membabitkan APMM di Masjid Rusila, Marang, Terengganu yang dikaitkan dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah pada 1985.





