top of page

Takhta N Sembilan: Jauhkan unsur politik, selesai secara Adat Pepatih - Dr Jufitri

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
16 minutes ago
1 min read

Kemelut adat dan Institusi Raja di Negeri Sembilan memerlukan jalan penyelesaian segera dan semua pihak diseru mengetepikan kepentingan politik kepartian, sekali gus kembali kepada semangat muafakat dalam Adat Perpatih.


Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha (gambar) berkata, isu berkenaan kini dilihat semakin rumit apabila kedua-dua pihak mendakwa mereka berada di pihak yang benar, dengan satu pihak membangkitkan dakwaan berlakunya pelanggaran adat, manakala satu lagi mempertahankan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas faktor kestabilan institusi.


Justeru beliau berkata, perbezaan pandangan itu perlu ditangani secara berhemah kerana Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri melalui sistem Adat Perpatih yang melibatkan peranan Yang di-Pertuan Besar serta empat Undang Luak.


"Sekali lagi unsur-unsur politik kepartian mesti dijauhkan, namun sekarang ini kelihatan unsur politik telah terlibat.


"Pelbagai pihak mesti faham, Negeri Sembilan ini unik dengan Adat Perpatih. Kita mesti menyeru semua pihak kembali kepada kebulatan dan pemuafakatan untuk menyelesaikan kekusutan ini.


"Jika tidak, orang luar akan memandang lekeh kepada institusi adat di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan mengulas isu berkenaan.


Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Rembau berpendapat, polemik yang berlaku di negeri itu semakin kusut sehingga menyukarkan usaha mencari jalan penyelesaian terbaik.


Oleh itu ujarnya, penglibatan pihak ketiga yang bebas daripada pengaruh politik diperlukan sebagai medium pemudah cara ke arah jalan perdamaian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page