
Pekerja sektor kesihatan awam yang kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan di negara ini dinasihatkan supaya tidak mengadakan mogok kerana isu itu boleh diselesaikan melalui perbincangan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melalui satu perkongsian video di laman sosial TikTok memaklumkan bertekad untuk menyelesaikan masalah dihadapi itu dan menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan pihak yang mahu mengadakan mogok.
"Saya sebenarnya faham, sangat faham tentang masalah itu. Latar belakang saya sendiri sebagai doktor, ini menyebabkan saya memang faham dan saya tekad sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ini dan kalau boleh, hari ini juga saya nak selesaikan.
"Tapi kita perlu faham bahawa ini akan mengambil sedikit masa untuk saya memahaminya lebih mendalam dan sebaik-baiknya supaya penyelesaian yang terbaik dapat kita laksanakan," katanya menerusi akaun TikTok.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak pada minggu lalu memaklumkan bersedia melakukan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan terus 'membisu' dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan negara.
Jurucakapnya, Dr Muhammad Yassin, berkata gerakan itu memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian sebelum mogok dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran.
"Saya sebenarnya mendengar ada pihak (mahu melakukan) 'unannouced strike', sama ada berlaku atau tidak, saya sendiri tidak ada kepastian.
"Tetapi apapun saya minta kepada semua yang mungkin terbabit atau cuba terbabit dalam perkara ini, kena tahu bahawa perkara itu (mogok) tidak menyelesaikan masalah.
"Jadi yang terbaiknya kita bersemuka, anda boleh datang kepada saya. Saya minta kepada anda semua, kita berfikir dengan cara lebih matang, lebih baik, boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai, kita bertemu, bersemuka (untuk) selesaikan masalah ini dan semuanya akan mendapat kebaikan daripada perkara ini," kata Zaliha dalam video berkenaan.