Sikap Perdana Menteri (PM) Umno yang tidak mahu membawa usul ke Dewan Rakyat berkenaan kejatuhan nilai matawang ringgit dan kos sara hidup melambung ditempelak Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, PM Ismail Sabri Yaakob sepatutnya membawa usul membahaskan isu rakyat agar Spekaer Dewan tidak menolak usul berkenaan.
Beliau kesal kerana surat yang dihantar kepada Ismail memohon membawa usul itu didiamkan begitu sahaja.
"Jadi kita nak minta bahas. PM tak jawab (surat) kerana dia sibuk bergaduh dengan Zahid. Pilihan raya, tak pilihan raya. Kerana dia bimbang kedudukan dia.
"Mana boleh jadi pemimpin (kalau lemah). Kalau saya PM, dibangkit dalam mesyuarat saya dengar, kalau betul ok, kalau tidak, saya tak setuju.
"Saya tak terima ugutan. Saya kena dengar sahabat bagi pandangan. Kalau hari hari kena ugut, PM apa? Baik jadi penghulu lebih cerdik daripada itu.
"Semuanya PM tak ada pendirian yang dia boleh buat. Lantik lebih 70 menteri, timbalan menteri, duta khas. Sebab itu saya beritahu tak usah cakap banyak, kena bahas. Kalau PM tak mahu bahas, biar saya bawa usul bahas.
"Speaker kata tak mendesak. Tak mendesak ke? Tidak mendesakkah kos sara hidup naik atau kalau ringgit jatuh. Apa guna Parlimen kalau tak boleh bahas ini semua?" tanyanya dalam ceramah Himpunan Harapan Melaka Bangkit, malam tadi.
Sebelum itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau hairan melihat teruknya Malaysia tenggelam dalam wabak rasuah. Hampir semua agensi kerajaan atau angkatan bersenjata ada kes besar yang menelam kewangan banyak.
"Sebut sahaja tentera laut, tentera udara, tentera darat, penyangak ni sapu. Ini soal keselamatan negara kita, keselamatan dikompromi
"Lepas tu marah takut (diserang) Singapura, Indonesia, Thailand. Kamu curi duit, takut apa. Sebab takut ini digunakan untuk menakutkan rakyat.
"Felda curi duit, Mara lagi, bangunan UiTM kontrak tipu, itu yang Melayu.
"Yang India, sapu, yilek, poci. Last sekali Mitra RM100 juta hilang. Apa tanggungjawab kita nak basmi kemiskinan? Siapa yang paling miskin, Melayu.
"Dasar Ekonomi Baru, menteri Melayu, menteri kewangan Melayu, raja Melayu tetapi Melayu paling miskin," katanya.
Oleh itu, tegas Anwar rakyat perlu membuat perubahan total pada PRU kali ini.
Beliau sedar banyak tauke yang melindungi pemimpin rasuah dan tidak akan senang melihat gerakan rakyat berkuasa di Putrajaya.
Namun katanya, sekiranya rakyat kental menolak kleptokrasi dan oligarki yang menindas maka kemenangan Pakatan Harapan (PH) tidak mustahil.
"Kita berdepan dengan sistem yang korup, tauke banyak melindungi pemimpin.
"Bila cakap kleptokrat Najib seorang saya tak setuju. Ramai kleptokrat. Makna kleptokrat itu satu sistem yang mengizinkan pemimpin mencuri.
"Kita harus bangkit sebagai kekuatan rakyat menolak sistem ini. Dan kita pastikan kita boleh menang besar. Nak menang 2 - 3 Parlimen tak cukup.
"Terpaksa bergantung dengan orang lain dan orang lain tak boleh diharap. Contoh tahun lalu semua 105 sain sokong Anwar PM. kemudian Umno 15 sain, bagi ke Agong, tolak dua, Zahid, Najib. Agong terima.
"Esok nak buat keputusan, malam itu dia tukar. Kalau saya pelahap nak jadi PM saya kena terima saja syarat. Apa syarat dia? Lepaskan mereka dari kes mahkamah.
"Malam itu minta saya buat surat sikit sahaja. Saya bagi jaminan tidak akan masukkan Najib dan sekutunya di penjara. Saya tak dapat terima," katanya.
Justeru, Anwar mencabar rakyat Melaka untuk keluar beramai ramai mengundi pada PRU 15 bagi memastikan PH menang bergaya dan menjadi kerajaan tanpa perlu berunding dengan parti lain.
"Jadi beri peluang rakyat yang tentukan, calon DAP, Amanah, KEADILAN menang kali ini dengan majoriti bergaya," katanya sebelum melaungkan kalimat keramat 'Reformasi' mengakhiri ceramah.
Comments