top of page

“Tak kenal maka tak cinta”: Faham sejarah, politik sederhana benteng ekstremisme

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 26 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Ekstremisme dan sentimen perkauman di Malaysia tidak harus dilihat sebagai fenomena yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada ketidakfahaman terhadap sejarah, budaya serta perubahan zaman yang berlaku dalam masyarakat majmuk.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran, berkata ekstremisme sering bermula bukan dengan niat jahat, tetapi daripada rasa cinta dan keghairahan yang berlebihan terhadap sesuatu kepercayaan atau ideologi.


"Ekstremisme ini selalunya tidak bermula dengan niat jahat, tetapi bermula daripada rasa cinta yang terlalu mendalam terhadap sesuatu sehingga menutup ruang kefahaman kepada perkara lain.


"Apabila seseorang terlalu taksub dengan apa yang dibaca, dipercayai atau diperjuangkan, tanpa mengambil kira pandangan lain, keadaan itu boleh berkembang menjadi sikap ekstrem yang akhirnya membawa kesan berbahaya kepada masyarakat," kata Ahli Parlimen Segamat dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Beliau menjelaskan bahawa ekstremisme juga lahir daripada rasa tidak selamat atau insecurity, di mana individu merasakan mereka perlu mempertahankan sesuatu yang dianggap paling benar dan penting, walaupun dengan menolak atau menyerang pihak lain.


"Bila seseorang jadi ekstrem, niat asalnya bukan untuk menyerang, tetapi untuk melindungi sesuatu yang dia percaya dan rasa terancam.


"Ekstremisme menjadi berbahaya apabila ia disertai reaksi melampau seperti kemarahan, kebencian dan tindakan yang mencetus perpecahan, khususnya apabila dibungkus atas nama kebebasan bersuara," katanya.


Gagal faham sejarah


Dalam konteks hubungan kaum, Yuneswaran menegaskan bahawa punca utama pergeseran bukanlah perbezaan kaum atau agama itu sendiri, tetapi kegagalan memahami latar belakang sejarah dan budaya masyarakat lain.


"Bila kita tidak mengenali sejarah, budaya dan asas pembentukan negara ini, di situlah lahirnya salah faham yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk kebencian dan sentimen perkauman," katanya.


Beliau menekankan bahawa prinsip “tak kenal maka tak cinta” perlu dijadikan asas dalam usaha membina perpaduan nasional, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.


Mengulas peranan sejarah, Yuneswaran berkata kegagalan membaca dan memahami sejarah penubuhan Perlembagaan, Rukun Negara serta asas pembinaan negara bangsa membuka ruang kepada kemunculan kelompok ekstrem.


Menurut beliau, perubahan zaman juga menuntut penilaian semula terhadap ideologi politik agar ia tidak terus terperangkap dalam kerangka lama yang tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.


"Ideologi yang dibentuk pada zaman sebelum merdeka adalah respons kepada cabaran ketika itu, tetapi hari ini kita berdepan realiti yang berbeza dan pendekatan juga mesti berubah," katanya.


Beliau merujuk kepada penubuhan parti-parti politik sebelum merdeka seperti UMNO, yang lahir dalam suasana sosial dan sentimen zamannya, berbeza dengan konteks masyarakat Malaysia hari ini yang lebih kompleks dan pelbagai.


Dalam landskap politik semasa, Yuneswaran berkata ideologi yang memecah-belahkan rakyat perlu dinilai semula agar tidak menggugat keharmonian dan perpaduan negara.


KEADILAN sesuai politik semasa


Sehubungan itu, beliau menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebagai parti yang bersedia melihat masa depan sebagai peluang, walaupun berdepan pelbagai cabaran politik dan persepsi.


"Parti Keadilan melihat masa depan sebagai peluang, sebab itu kita memilih jalan multiracial dan keadilan sosial sebagai asas untuk menyatukan rakyat, bukan memisahkan mereka," katanya.


Yuneswaran turut menyatakan KEADILAN sebagai sebuah parti berbilang kaum yang menghimpunkan pelbagai etnik, agama dan wilayah, selaras dengan perubahan corak pemikiran rakyat.


Dalam pada itu katanya, ideologi keadilan sosial tetap menjadi teras perjuangan parti, namun pendekatan dan kaedah perlu sentiasa disesuaikan dengan perubahan zaman agar kekal relevan dan inklusif.


"Parti politik memainkan peranan besar dalam isu perpaduan.


"Jika kita mahu mengekang ekstremisme dan memastikan keharmonian berkekalan, kita mesti bermula dengan kefahaman, pendidikan dan politik yang sederhana," tegasnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page