Kemenangan PRK Kinabatangan, DUN Lamag cerminkan keyakinan rakyat - PM
- Suara Keadilan

- 22 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat serta komitmen yang telah ditunjukkan di peringkat akar umbi.
"Kemenangan ini mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan media.
Perdana Menteri Malaysia itu menegaskan bahawa kemenangan tersebut perlu ditanggapi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepimpinan berintegriti, khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan.
"Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat diperkukuh serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
"Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama," katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar (anak kepada Allahyarham Bung Moktar) serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan berkenaan.
Beliau turut mendoakan agar legasi khidmat dan kepimpinan allahyarham Bung Moktar Radin dapat diteruskan dan dipelihara dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan terbabit.
Keputusan semalam juga mencatat majoriti yang lebih tinggi daripada diperolehi Bung Moktar pada pilihanraya sebelum ini apabila BN bertanding secara solo.
Misalnya pada Pilihan Raya Umum 2022, Bung memperolehi majoriti 4,330 undi, berbanding anak beliau Mohd Kurniawan Naim Moktar yang memperolehi majoriti 14,214 undi.
Begitu juga kerusi DUN Lamag, Bung memperolehi majoriti tipis 153 undi pada Pilihan Raya Negeri 2025, sedangkan Mohd Ismail Ayob semalam memperolehi majoriti 5,681 kerana tidak bertembung dengan parti utama kerajaan, GRS.
Hal itu membuktikan BN mampu mencapai kemenangan lebih besar apabila bersama Kerajaan Perpaduan berbanding secara solo sebagaimana dicadangkan oleh segelintir pihak dalam gabungan berkenaan kebelakangan ini.









Comments