PN hilang arah: Krisis dalaman bukti gagal sebagai pembangkang
- Suara Keadilan

- 51 minutes ago
- 1 min read

Perikatan Nasional (PN) pada waktu ini dilihat melalui proses kemerosotan yang serius dan berperingkat, bukan akibat serangan pihak lawan, tetapi berpunca daripada kelemahan dalaman serta kegagalan kepimpinan sendiri.
Ketua Penerangan KEADILAN Kuala Langat, Mohd Khairool Ngadon, berkata peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada menerajui PN baru baru ini merupakan penamat rasmi kepada ilusi bahawa Bersatu masih relevan sebagai tonggak utama pembangkang.
"Perikatan Nasional tidak tumbang diserang, tetapi mati perlahan-lahan kerana kebodohan sendiri. Peletakan jawatan Muhyiddin hanyalah sijil kematian rasmi kepada ilusi bahawa Bersatu masih relevan sebagai tulang belakang pembangkang," katanya dalam muat naik di media sosial.
Manakala krisis politik di Perlis, menurut beliau, mendedahkan PN sebagai sebuah gabungan yang gagal berfungsi secara berprinsip dan berdisiplin, malah tidak mempunyai keupayaan kolektif untuk mentadbir dengan berkesan.

"Bersatu bermain kuasa, Pas pula mengira dosa pahala. Akhirnya kedua-duanya gagal memerintah walaupun sebuah negeri dengan waras," ujarnya.
Dalam masa sama, Khairool berpandangan penguasaan Pas dalam PN pula tidak membawa pembaharuan sebenar, sebaliknya hanya mencipta kemenangan bersifat kosmetik tanpa daya tarikan nasional.
"Pas mengambil alih PN tetapi jangan silap, hegemoni tanpa daya tarikan nasional hanyalah kemenangan kosmetik. Kuat di mimbar, lemah di pasaran. Gagah di negeri, lumpuh di Persekutuan," sinisnya.
Beliau menegaskan krisis politik PN sepanjang 2025 hingga 2026 ini telah membuka mata rakyat terhadap realiti sebenar gabungan itu sebagai pembangkang yang gagal menguruskan perbezaan dalaman, apatah lagi memimpin negara.
"Hakikatnya, pembangkang yang gagal mengurus ego sendiri tidak pernah layak mengurus negara," katanya lagi.









Comments