SUKMA WAJA platform pemerkasaan wanita inklusif bandar, desa - Wanita KEADILAN
- Redzuan Shamsudin

- 31 minutes ago
- 2 min read

Program Wanita Jelajah Desa (SUKMA WAJA) diperkenalkan sebagai satu inisiatif strategik bagi memperkasa wanita secara inklusif, dengan memberi tumpuan kepada wanita di kawasan desa dan bandar yang berdepan kekangan akses kepada ilmu, kemahiran serta peluang pembangunan diri.
Wanita KEADILAN Pusat dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa program ini diwujudkan sebagai respons kepada keperluan mendesak untuk memperkukuh peranan wanita dalam aspek ekonomi, sosial, kesejahteraan dan kepimpinan, selaras dengan cabaran pembangunan semasa yang memberi kesan langsung kepada wanita di peringkat akar umbi.
"SUKMA WAJA menyasarkan wanita yang memerlukan sokongan pemerkasaan termasuk golongan B40, ibu tunggal, usahawan wanita, wanita muda serta kanak-kanak, dengan pendekatan menyeluruh bagi memastikan tiada golongan wanita tercicir daripada arus pembangunan," kata Wanita KEADILAN dalam satu kenyataan.

Menurut Wanita KEADILAN Pusat, antara objektif utama program berkenaan ialah memberi pendedahan kepada peluang pembangunan diri dan ekonomi, meningkatkan keyakinan serta kepimpinan wanita, memperkasa wanita sebagai tonggak kesejahteraan keluarga dan masyarakat, serta menyokong agenda pembangunan inklusif berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Pelaksanaan SUKMA WAJA akan dilaksanakan menerusi pendekatan jelajah komuniti yang melibatkan kawasan desa dan bandar. Pada peringkat awal, program ini melibatkan negeri Pahang dan Selangor sebelum diperluaskan ke Melaka, Johor dan Sarawak mengikut keperluan setempat.
Peluncuran program ini turut disertai dengan pengenalan logo rasmi SUKMA WAJA yang melambangkan pemerkasaan wanita secara holistik. Logo berbentuk huruf “W” dengan elemen hati menggambarkan wanita sebagai teras program serta nilai kesatuan dan keprihatinan, manakala gabungan warna biru dan merah jambu mencerminkan keseimbangan antara kekuatan, kepimpinan, empati dan kasih sayang. Elemen menyerupai sayap pula melambangkan kebebasan, potensi serta usaha membawa pembangunan terus ke peringkat akar umbi melalui jelajah desa.
Sebagai kesinambungan kepada peluncuran ini, Wanita KEADILAN Pusat memaklumkan bahawa SUKMA WAJA akan melaksanakan pelbagai program susulan termasuk latihan dan pembangunan kemahiran, jelajah komuniti, sokongan ekonomi, bimbingan keusahawanan serta modul kepimpinan wanita bagi memastikan impak jangka panjang kepada kesejahteraan wanita bandar dan desa.
"Program ini dijangka memberi impak melalui peningkatan penyertaan wanita, penguasaan kemahiran, penjanaan pendapatan, pembangunan kepimpinan komuniti serta peningkatan kesejahteraan sosial dan emosi wanita," jelas kenyataan itu.
Secara keseluruhan, SUKMA WAJA dilihat berperanan sebagai platform pemerkasaan wanita yang menterjemahkan nilai kemampanan, kesejahteraan, ihsan dan keadilan sosial dalam agenda Malaysia MADANI, dengan menjadikan wanita sebagai agen perubahan utama dalam pembangunan masyarakat.









Comments