Oleh: Abdullah Zaid
Kemeriahan Tahun Baru Cina semestinya tidak lengkap tanpa kemeriahan jamuan makan besar melibatkan masyarakat itu.
Bagi berkongsi keriangan, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai Chen Heng menganjurkan majlis Tahun Baharu Cina bersama Persatuan Penjaja Kecil Pasar Teratai Mewah, baru-baru ini.
"Slogan saya pakai tahun ini adalah 'Naga Malaysia Madani membawa Berkat dan Kemakmuran'.
"Oleh itu, saya berharap dan percaya tahun ini, akan menjadi lebih makmur di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Andre Lai, pihaknya memilih Pasar Teratai Mewah sebagai tapak penganjuran program itu kerana tempat berkenaan mempunyai nilai sentimental yang khusus kepada masyarakat Cina di Wangsa Maju.
Selain itu, beliau juga turut berkongsikan pengalaman bersama mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Dr Tan Yee Kew mengurus pemindahan pasar itu ke lokasi baharu bagi tujuan projek MRT 3.
"Proses pemindahan cukup susah, kerana tapak baharu masa itu adalah tanah gersang dan penuh dengan semak samun serta naik taraf dan pemindahan dimuktamadkan pada 26 Julai 2018," ujarnya.
Katanya cabaran menaiktaraf pasar baharu itu masih dihadapi oleh para penjaja, termasuk isu perlesenan dan penguatkuasaan DBKL.
"Namun saya meneruskan usaha naiktaraf pasar dengan kerjasama daripada DBKL, khususnya Datuk Bandar sendiri.
"Ia adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri mahu menjadikan peniaga kecil-kecilan sebagai intipati Bandaraya Kuala Lumpur," ujarnya.
Katanya, sejak turun-temurun, Pasar Teratai Mewah menjadi tumpuan masyarakat Cina sebagai tempat berkumpul dan berkongsi informasi antara satu sama lain.
Oleh itu, Andre Lai berharap amalan tradisi itu tidak dilupakan dan terus dipelihara masyarakat tempatan.
"Tapak pasar hari ini terletak di tengah-tengah kawasan Prima Setapak. lebih kurang 40 tahun yang lalu, ia lebih dikenali sebagai Kampung Forlong.
"Peneroka awal, yang datang dari China pada zaman penjajahan memilih kawasan Setapak (kini sebahagian daripada Wangsa Maju) sebagai tempat mereka bermastautin.
"Meskipun kampung sudah tiada, namun ia keturunan mereka terus menetap di flat dan kondominium yang dibina di atas kawasan kampung," ujarnya lagi.
Comentarios