Oleh: Abdullah Zaid
Berbaki empat hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina sememangnya dinanti masyarakat Cina yang telah mula membuat persiapan bagi menyambut perayaan berkenaan.
Menerusi perkongsian video, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng menyifatkan perayaan Tahun Naga kali ini begitu bermakna buat masyarakat Cina di penempatan awal mereka di Kuala Lumpur, iaitu di Setapak dan Wangsa Maju untuk meraikannya dengan masyarakat berbilang kaum.
"Peneroka Cina awal membawa adat resam, budaya, bahasa ibunda dan pendidikan vernakular sejak bertapak ke Tanah Melayu. Di sebalik segala cabaran masyarakat Cina amat bertuah kerana masih mengekalkan identiti unik atas azam dan ketabahan mereka.
"Dari Desa Setapak ke Setapak Garden, dari Teratai Mewah ke Genting Kelang, dari Batu 5 Jalan Gombak ke Kampung Lee Kong Chian (Batu 5), kebudayaan dan gaya hidup masyarakat Cina telah menjadi sebahagian daripada komuniti setempat.
"Masyarakat yang lain telah pun sebati dengan kewujudan masyarakat Cina sejak hari pertama lagi," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju.
Malah kata Andre Lai, rumah ibadat, sekolah teras Cina, pasar dan aktiviti kebudayaan telah menjadi sebahagian daripada masyarakat Tionghoa di situ.
"Di Wangsa Maju, terdapat 3 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah berteraskan bahasa Mandarin.
"Apatah lagi adanya sebuah universiti tempatan yang mempunyai bilangan pelajar Cina yang ramai," katanya.
Tambah Andre Lai, KEADILAN sebagai parti politik bersifat inklusif telah lama menjunjung kepelbagaian budaya dalam pembinaan identiti nasional selain memperkasakan agenda reformasi dan menjadikan Wangsa Maju sebagai tempat tinggal semua komuniti hidup bersama.
"Sebagai satu kawasan yang mempunyai penempatan masyarakat Cina yang ketara, Wangsa Maju menjadi sebuah contoh masyarakat muhibbah yang boleh hidup bersama di bawah satu bumbung besar," katanya lagi.
Comments