Kerajaan Selangor pada 2021 akan meneruskan tradisi membela ekonomi rakyat dengan memperkenalkan lebih banyak kemudahan-kemudahan ekonomi digital bagi memudahkan penduduk negeri itu memperbaiki taraf kehidupan sepanjang tempoh pasca Covid 19.
Dalam perutusan tahun baharu 2021, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rakyat Selangor terutama yang kehilangan mata pencarian sepanjang tahun lalu diharap boleh membina semula kerjaya mereka.
Katanya, selain inisiatif ekonomi, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin sepanjang 2019 lalu melibatkan beberapa jenis cukai ditangguhkan, penangguhan sewaan premis kerajaan serta beberapa kelonggaran lain bagi mengurangkan bebanan rakyat.
"Beberapa program baharu dirancang dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan serta mencipta lebih banyak pekerjaan. Antaranya adalah inisiatif Niaga Darul Ehsan (NaDi) yang memberi pinjaman perniagaan serendah RM1 ribu untuk rakyat Selangor memulakan perniagaan.
"Lain-lain program termasuklah Selangor Kerjaya dengan latihan dan bimbingan ataupun new skilling, upskilling dan reskilling serta Selangor Freelancer bagi semua yang memerlukan fleksibiliti dalam meraih punca rezeki.
"Kerajaan Negeri turut secara agresif mempersiapkan beberapa platform agar rakyat tidak kira kaum, usia atau jantina dapat sama-sama menyertai ekonomi gig dengan mengadakan E-Kitchen bersama Grab dan juga jualan dalam talian E Bazaar bersama Shopee.
"Turut dibantu adalah mereka yang mahu berkhidmat bersama syarikat-syarikat e-hailing tetapi tidak mempunyai lesen motor, kita bantu dengan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Amirudin lagi, untuk menggalakkan orang ramai menyertai anjakan Digitalisasi, Kerajaan Negeri tampil menawarkan beberapa inovasi baharu yang bakal mempermudah hidup.
Katanya, bagi para pemilik perniagaan PRODUTK, satu sistem urustadbir akan direka dan bakal mempersiapkan mereka ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0. Turut diwujudkan Rakan Digital Selangor yang akan melatih dan membimbing semua anggota masyarakat agar lebih celik digital.
Termasuk, Program seperti Bantuan Yuran Universiti (BaYU) dan Pusat Tuisyen Rakyat tetap diteruskan agar anak-anak muda yang terjejas pengajian mereka, atau disebut ‘the lost generation’ akibat wabak Covid-19, terjamin kelangsungan pembelajaran dan perkembangan intelektual.
"Ini semua penting agar kita semua lebih bersiap-siaga dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran dan tentangan ekonomi masa depan, terutamanya dalam situasi perebakan wabak Covid-19 yang masih belum reda.
"Di sebalik penurunan penarafan Fitch rating serta keputusan beberapa syarikat gergasi luar seperti Tencent, Google, Amazon untuk tidak bertapak di Malaysia, Selangor akan terus menggembleng segenap usaha dalam menggalakkan sektor industri seperti fintech, urban farming malah perfileman dan cyber games untuk terus berdaya saing dengan pelaburan besar yang dipanggil Selangor Innovation Fund.
"Geran berjumlah RM100 juta ini bakal memanfaatkan para pengusaha startup serta usahawan untuk meneroka teknologi baharu yang dapat menangani cabaran yang dihadapi masyarakat, sekaligus memposisikan Selangor sebagai negeri pelabur awal ataupun early stage investor, dan melimpahkan manfaat berantai dalam bentuk peluang pekerjaan dan lain-lain kepada segenap masyarakat.
"Untuk itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan syarikat ‘unicorn’ yang akan menghasilkan berbilion dolar dan Malaysia akan pergi lebih jauh di pentas dunia," katanya lagi.
Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu turut berharap semoga lembaran baharu tahun 2021 akan memberi nikmat kesihatan dan kemakmuran untuk seluruh warga Selangor tanpa seorang pun yang tercicir atau tertinggal.
Comments