Pembongkaran kartel kontrak baja berjumlah RM1.8 bilion melibatkan penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa pegawai di anak syarikat Kementerian Pertanian amat dialu alukan.
Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau Syam Ghaz dalam satu kenyataan berkata, penahanan itu membuktikan pendedahan yang dilakukan oleh aktivis politik dan pertanian sebelum ini mengenai dakwaan berlaku sesuatu yang tidak wajar dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah benar.
"Akhirnya terbukti pendedahan kita betul berkaitan NAFAS dan siasatan SPRM menemui segala bukti diperlukan untuk Lembaga Pertubuhan Peladang mengantung Ahli Jemaah Pengarah NAFAS berkuatkuasa serta merta," katanya dalam catitan di Facebook.
Sementara itu dalam satu lagi siaran media, Syam Ghaz sedih dengan jumlah kontrak baja yang diselewengkan kerana amaunnya teramat besar dan jelas merompak hak petani miskin yang memerlukan pembelaan.
"Saya terkesan dengan penyelewengan di NAFAS membabitkan kontrak RM1.8 bilion lebih. Memang kerja bodoh siapa yang buat ini
"Pesawah padi seluruh negara 200,000 lebih, ahli Peladang seluruh negara dekat sejuta orang, harapan mereka besar kepada Pertubuhan Peladang menjadi badan yang menaungi mereka untuk bawa mereka keluar dari paras kemiskinan
"Tetapi yang terjadi, RM60 juta kontrak diberi secara runding terus kepada syarikat di Singapura yang ada anak syarikat di Malaysia dorman selama 8 tahun, mendapatkan kontrak secara runding terus membabitkan 15,000 metrik tan (baja) diberikan," katanya.
Syam dalam pada itu mengucap tahniah kerana ketegasan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membongkar kartel yang telah berlarutan menyeleweng dan merugikan petani di seluruh negara.
"Datuk Seri Anwar tahniah kerana membongkarkan isu ini. Cuma kami mahu benda ini disiasat dan mereka terlibat dikenakan tindakan habis habisan kerana mengkhianati hampir 1 juta peladang seluruh negara
"Kita harap bukan setakat kartel baja, tetapi benih padi yang mana kita tahu benih dibekalkan tak ada kualiti dan banyak padi angin (turut disiasat)
"Selain itu kartel melibatkan racun, jentera, pengangkutan lain juga kerajaan perlu bongkar. Terutama kilang padi yang menindas pesawah padi di seluruh negara," katanya lagi.
Untuk rekod, siasatan SPRM mendapati kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari saja pada sekitar bulan Jun 2022 pada era pemerintahan kerajaan PN yang lalu.
Setakat ini, tiga individu sudah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman bermula 30 Okt sehingga 2 November ini.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 telah menggantung NAFAS berkuat kuasa pada 1 November 2024 sebagai usaha untuk memulihkan pertubuhan itu secara holistik.
Commentaires