
Kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa didalangi warga asing semalam mendapat pujian dan penghargaan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD).
Menurut Ahmad Fahmi Fadzil kejayaan menumpaskan sindiket melibatkan penipuan sehingga RM200 juta secara atas talian itu merupakan satu permulaan baik kepada perang melawan scammers di Malaysia.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada SPRM di atas kejayaan mematahkan sindiket scam pelaburan.
"Sindiket scam ini didakwa telah mencuri lebih RM200 juta dari mangsa-mangsa di UK dan Australia," kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki melalui laporan media semalam berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Cyber Security, Telekom, Suruhanjaya Syarikat, Tenaga Nasional Berhad, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah bergandingan dalam Op Tropicana.
Sebanyak 24 serbuan dibuat terhadap syarikat serta kediaman ahli sindiket yang terdiri warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.
Turut diserbu adalah tiga pusat panggilan atau ‘boiler room’. Seramai 11 individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut ditahan manakala seramai 70 orang ditahan oleh pihak imigresen.

Azam Baki turut memaklumkan risikan juga dibuat dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM.
Sementara itu, Fahmi menyatakan harapan agar lebih banyak sindiket penipuan seperti itu terutama yang memangsakan rakyat Malaysia akan dapat dipatahkan.
"Saya percaya dengan kerjasama antarabangsa yang lebih erat, sindiket-sindiket yang berpangkalan di negara asing tetapi memangsakan rakyat Malaysia akan dapat ditumpaskan.
"Tahniah juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan CyberSecurity Malaysia kerana membantu menjayakan Op Tropicana ini," katanya dalam kenyataan tersebut.
Comments