Tahap ekonomi Alor Star sederhana, kenaikan cukai pintu tidak perlu tinggi
- Suara Keadilan
- 53 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cadangan kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) terus dikritik oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Kedah.
Menurut ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong, cadangan kenaikan kadar cukai pintu itu agak mengecewakan kerana ianya membebankan rakyat.
Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 20,000 bantahan daripada 89,000 pemilik hartanah berhubung isu berkenaan.
"Ini bermaksud, pandangan rakyat memberi isyarat bahawa mereka membantah kenaikan mendadak ini.
"Sekarang ini saya ada satu fakta, daripada 300 senarai bantahan yang diterima, hasil analisis mendapati hanya dua (kes) mengalami penurunan, manakala satu lagi kekal tanpa perubahan," dakwa beliau dalam satu siaran video.
Dakwa beliau lagi berdasarkan senarai itu, kenaikan cukai daripada 1 peratus hingga 5 peratus melibatkan lima rumah, 38 rumah lagi mengalami kenaikan 30 peratus ke atas.
Manakala 101 rumah naik antara 50 peratus hingga 100 peratus dan lebih 100 rumah meningkat lebih 200 peratus.
Selain itu, Swee Leong berkata, bandar raya Alor Setar tidaklah ‘sehebat’ Kuala Lumpur atau Pulau Pinang memandangkan tahap ekonominya masih sederhana dan menyukarkan pemilik premis untuk membayar cukai sekiranya dinaikkan begitu tinggi.
Ujarnya, jika dilihat dari aspek kawasan penempatan pula, Alor Setar merupakan antara bandar tertua di Malaysia.
"Saya ada satu kes, daripada kira-kira RM400 lebih setahun, tahun depan kena bayar RM3,297. Macam mana dia nak bayar? Kalau tuan rumah dikenakan cukai tinggi, sudah tentu kadar sewa juga akan meningkat.
"Kalau MBAS benar-benar mahu menaikkan cukai pintu, akhirnya bila kadar itu naik, hasil pun susah dikutip dan terpaksa pula dilakukan tindakan menyita. Jadi beban kepada rakyat," katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor menggesa pemilik dan pemegang taruh yang terkesan dengan kadar cukai taksiran baharu untuk mengemuka bantahan melalui saluran rasmi.
Beliau menyeru pihak berkenaan memanfaatkan masa sehingga 5 November lalu untuk mengemukakan bantahan sebelum sesi pendengaran awam, menerusi saluran yang disediakan MBAS.
Sebelum ini, media turut melaporkan bahawa mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menggesa agar MBAS menyemak semula kadar baharu cukai pintu yang didakwa meningkat melebihi 200% bermula tahun 2026.
Ia susulan kebimbangan pelbagai pihak terhadap kesan langsung kepada rakyat dan peniaga tempatan.
Ahmad Bashah berkata, langkah drastik itu dilihat membebankan masyarakat khususnya dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya.





