Jumlah tahanan pendatang asing tanpa izin perlu ditangani kerajaan dengan segera apabila didapati terlalu ramai sehingga tidak mampu untuk menampung 14 depoh tahanan imigresen yang sedia ada.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata perkara ini boleh dibuktikan menerusi bilangan tahanan tanpa dokumen yang dihantar pulang ke negara asal.
"Mereka yang dihantar balik sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara 18 Mac hingga 1 Julai hanyalah 5,951 orang sedangkan purata setiap tahun adalah 50,000 atau bersamaan dengan 4,100 orang setiap bulan.
"Ini bermakna mereka yang dihantar pulang semasa PKP berkurangan dua kali ganda.
"Kami beranggapan ada kekangan yang nyata terhadap kemampuan 14 depoh tahanan imigresen untuk menampung mereka yang ditahan sementara menunggu proses menghantar pulang ke negara asal," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Pada masa sama, Johari mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pihak luar seperti KEADILAN untuk melakukan lawatan di depoh tahanan bagi menilai situasi sebenar.
"Kita juga mendengar ada layanan tidak baik terhadap mereka yang di tahan di depoh, jadi kami mencadangkan kerajaan supaya menjemput pihak tertentu untuk mengadakan lawatan rasmi di mana-mana depot bagi menjawab kekhuatiran mengenai hak asasi manusia.
"Saya bersedia untuk menawarkan diri dan melawat depoh tahanan supaya kami boleh menyediakan laporan semasa di depoh," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menggunakan kemudahan-kemudahan sedia ada tetapi tidak diguna pakai seperti kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).
"Sewajarnya kerajaan menimbangkan fasiliti yang tidak diguna pakai seperti kem PLKN bagi meningkatkan keupayaan sedia ada kerana dalam satu kem boleh menampung 20,000 orang pada satu-satu masa.
"Operasi membanteras sindiket bawa masuk PATI dan jalan-jalan tikus perlu diperhebatkan dan mempunyai sasaran jelas.
"Ia perlu diuruskan dengan bersungguh-sungguh dan menjurus kepada penyelesaian dengan lebih menyeluruh," katanya.
Comments