Tabungan LTAT tinggi, veteran angkatan tentera miskin - Pahlawan

Updated: Aug 7



Isu veteran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hidup miskin selepas bersara masih belum dibela sepenuhnya. Apatah lagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjanji untuk meningkatkan kebajikan bekas ATM digulingkan sewaktu merangka dasar-dasar yang lebih baik untuk golongan tersebut.


Bagi Setiausaha NGO Pahlawan, Kapten (B) Zulkefly Othman, pembelaan yang lebih komprehensif harus dilakukan kerajaan terhadap veteran yang rata-ratanya 80% Bumiputera, sama ada Melayu, Kadazan atau Iban.


"Dalam hal ini kerajaan perlu melihat secara dekat masalah veteran. Masalah veteran ATM dan polis cukup serius. Mereka kebanyakannya Melayu


"Saya menyeru pemimpin negara mendekati veteran ini secara berhikmah. Kita tidak mahu mereka didekati semata-mata ketika musim pilihan raya umum (PRU) seperti yang berlaku sebelum ini.


"Sehingga hari ini kalau kami tinjau group veteran, walaupun seorang pegawai mahupun berpangkat biasa banyak yang hidup dalam keadaan sakit tidak terbela. Sedangkan keringat mereka ini ditumpahkan ketika mereka sihat kepada negara.


"Sebab itu NGO Pahlawan mahu menggerakkan veteran bangkit memberi sokongan kepada Reformasi. Supaya mereka yang terpinggir ini, di Felda Sungai Koyan, di Jengka misalnya, sedar. Namakan kawasan Felda, maka kebanyakannya bekas tentera hidup miskin," kata Zulkefly dalam sesi forum yang disiarkan melalui Facebook Gabungan Reformis Malaysia (GRM) malam tadi.


Menurut beliau lagi, biar pun ATM memilikki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang tabungannya cukup besar tetapi entah di mana silapnya dana tersebut tidak mampu membela kebajikan golongan veteran.


"ATM mempunyai LTAT. Cukup kaya, punya anak syarikat tetapi apa jadinya kepada veteran tentara? Tiap kali Hari Pahlawan kita terpaksa mengutip derma.


"Mana perginya hasil potongan anggota tentera untuk LTAT dan insurans berkelompok? Banyak, tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada veteran menampung kos, terpaksa lagi menagih. Kalau kita lihat hasil korporat pun banyak. ATM juga ada Affin Bank," katanya lagi.


Zulkefly mahu 114 persatuan veteran tentera di seluruh negara bersatu hati dalam menuntut hak-hak mereka.


Katanya, kerajaan memang telah menubuhkan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia namun pembelaan kebajikan yang dilakukan belum mencukupi.


Sehubungan itu, baru-baru ini veteran menubuhkan Gabungan Reformasi Angkatan Tentera Malaysia (GRATM) meliputi veteran cabang laut, udara dan darat.


Persatuan tersebut, kata Zulkefly, mahu meningkatkan ekonomi bekas tentera kerana biar pun LTAT mempunyai dana dan kemahiran perniagaan, golongan veteran masih terpinggir dalam aktiviti ekonomi.


"Kita ambil BHP yang merupakan anak syarikat LTAT. Namun berapa ramai anggota tentera yang memiliki stesen minyak BHP?" soalnya.


Oleh yang demikian, Zulkefly menganjurkan veteran bergabung dalam perjuangan Reformasi bagi membuat perubahan pada PRU 15.


"Saya melihat peranan tentera cukup besar. Secara politiknya kita melibatkan 25 kawasan parlimen yang ada kem tentera di seluruh negara.


"Dalam PRU akan datang sebaiknya lebih ramai veteran bangkit dan sedar bahawa kita jangan lagi duduk di takuk lama. Mari bersama dalam GRATM yang dipimpin saudara Azizan Memali.


"Beliau bergerak aktif di sebelah Utara menolong bekas tentera. Kita mahu veteran dan anak-anak terbela di bidang ekonomi dan pendidikan. Kita mahu generasi seterusnya berubah," katanya lagi.


Untuk rekod, NGO Pahlawan ditubuhkan sebelum PRU ke 13 lalu dan bergiat aktif membantu Pakatan Rakyat ketika itu dalam misi menawan Putrajaya.


Apabila PH mengambilalih pentadbiran pada 2018, Pahlawan menyampaikan saranan-saranan sesuai bagi memperbaiki kedudukan pesara tentara namun usaha yang dirancang terkandas sebaik sahaja Perikatan Nasional mengambil alih teraju pemerintahan pada Mac 2020.




PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio