Tabung Haji sekali lagi rangkul Anugerah Tertinggi Pengurusan Haji Terbaik
- Suara Keadilan
- Jun 10
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tabung Haji (TH) terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila sekali lagi merangkul Anugerah Tertinggi Pengurusan Haji Terbaik di bawah Anugerah Labbaittom (Diamond Award) bagi tahun keempat berturut-turut.
Detik penuh membanggakan itu dikongsikan oleh Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang turut menjadi tetamu Allah di Tanah Suci bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Lokman berkata, buat julung kalinya Kementerian Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi memberi pengiktirafan tertinggi kepada Malaysia atas kecemerlangan dalam pengurusan jemaah haji.
"Alhamdulillah syabas.. pada malam Ahad (semalam), sekali lagi Tabung Haji telah dianugerahkan Anugerah Labbaittom ini dan lebih menarik lagi, Malaysia telah menerima penghargaan tertinggi ataupun apa yang disebut sebagai ‘Diamond Award' mendahului negara-negara lain di dunia.

"Bagi saya ini satu kejayaan yang cukup hebat memandangkan proses penilaian ketat dilakukan bagi anugerah ini termasuk melihat dari semua aspek seperti pengurusan, kebajikan dan keselamatan jemaah haji.
"Untuk makluman semua, seperti kebiasaannya dan untuk setiap tamatnya operasi haji bagi tahun semasa, Kerajaan Arab Saudi akan memberikan anugerah dan penghargaan kepada individu serta negara yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada jemaah haji," katanya dalam muat naik di Facebook.
Menurut Lokman lagi, anugerah yang disampaikan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dalam Program Majlis Penutupan Musim Haji 1446 Hijrah/2025 Masihi itu diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Susulan kejayaan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mendoakan agar prestasi positif itu terus dikekalkan dan secara tidak langsung meneruskan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia pada tahun akan datang.
댓글