Tabung Haji sambut baik pengumuman pulangkan aset
- Suara Keadilan
- Sep 30, 2023
- 1 min read

Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemindahan semula aset-aset TH yang dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2018.
Melalui satu kenyataan TH berkata, pihaknya akan memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan pengambilan semula asetnya yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan.
"TH sentiasa terbuka kepada semua peluang pelaburan yang boleh memberi nilai tambah kepada institusi dan juga pendeposit khususnya.
"Usaha ini juga akan dikaji secara terperinci dan akan melalui proses dan tatakelola sedia ada. TH akan membuat pengumuman seterusnya berkenaan perkara ini pada masa yang sesuai," menurut institusi pengurusan haji negara itu.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset TH setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit serta pengurusan cekap dan berintegriti oleh kepimpinan baharu TH.
Perdana Menteri berkata, selagi beliau diberi amanah memegang tanggungjawab menjaga negara, beliau tidak akan bertolak ansur dalam segala percubaan untuk merosakkan agensi mahu pun syarikat milik negara bagi mengaut keuntungan.
Untuk rekod, pada 2019 Pas menggunakan isu aset Tabung haji 'dijual oleh Cina DAP' dalam kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan kemarahan orang Melayu mengakibatkan kekalahan besar PH dalam setiap Pilihan Raya Kecil sehingga gabungan itu tumbang pada Februari 2020.
Dengan pemulangan aset ini ternyata Pas 'kaki fitnah' kerana aset tersebut tidak pernah dijual oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada ketika itu kepada pemodal Cina.
Comments