top of page

Tabung Haji perlu reformasi akta - Ustaz Amir Zuhair

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Sep 12
3 min read

Tabung Haji (TH) perlu melalui reformasi institusi termasuk pindaan terhadap akta penubuhannya bagi memastikan institusi itu lebih terlindung daripada campur tangan politik dan kelemahan tadbir urus yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit.


Pengerusi Daie Madani (DAMAI), Ustaz Amir Zuhair Abdull Khalid (gambar) berkata reformasi berkenaan penting bagi memastikan isu yang pernah didedahkan melalui proses semakan dan siasatan berkaitan TH tidak berulang pada masa depan.


Menurut beliau, antara risiko paling besar yang boleh berlaku kepada TH ialah fenomena bank run, iaitu keadaan apabila pendeposit secara beramai-ramai mengeluarkan simpanan sehingga institusi tidak mampu memenuhi tuntutan pengeluaran pada satu-satu masa.


Beliau mendakwa keadaan itu pernah menghampiri situasi membimbangkan apabila kira-kira RM6 bilion pengeluaran berlaku pada 2019 susulan kontroversi dan persepsi negatif terhadap pengurusan TH ketika itu.


"Kalau ini berterusan, Tabung Haji akan berlaku satu dipanggil bank run. Kalau semua duit dalam Tabung Haji dikeluarkan, Tabung Haji akan ranap," katanya pada sesi ceramah kelompok “RCI Tabung Haji” di PPR Desa Rejang, Setapak, semalam.


Beliau turut mendakwa antara persoalan utama dalam pengurusan kewangan TH pada masa lalu ialah penggunaan kaedah creative accounting, termasuk pengiktirafan nilai yang belum direalisasikan bagi tujuan tertentu.


Katanya, perkara itu perlu dilihat secara kritikal kerana terdapat perbezaan antara unjuran keuntungan masa depan dengan keuntungan yang benar-benar telah direalisasikan.


Beliau turut membangkitkan beberapa pelaburan TH yang menurutnya mengalami kerugian besar, termasuk pelaburan berkaitan Felda Global Ventures (FGV), serta beberapa aset dan syarikat lain.


Menurutnya, persoalan yang perlu dijawab bukan semata-mata siapa yang mengambil wang secara langsung daripada TH, tetapi bagaimana keputusan pelaburan dibuat dan sama ada terdapat campur tangan pihak tertentu dalam keputusan tersebut.


Beliau berkata sebahagian keputusan pelaburan yang bermasalah dibuat atas arahan pihak atasan, bukannya melalui proses profesional panel pelaburan seperti sepatutnya.


Amir Zuhair turut membangkitkan persoalan mengapa TH tidak mengambil tindakan cut loss terhadap sesetengah pelaburannya pada peringkat lebih awal ketika institusi lain seperti KWSP telah mengurangkan pegangan masing-masing.


Katanya kelemahan tadbir urus juga perlu dilihat dari sudut struktur institusi, termasuk proses pelantikan pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat berkaitan TH.


Sehubungan itu, beliau berpandangan Akta Tabung Haji perlu dipinda bagi memperkukuh mekanisme perlindungan institusi daripada pengaruh politik.


"Masalah dalam RCI ini, paling utama sekali ialah Tabung Haji ini ada akta dia sendiri. Jadi bagaimana untuk menguatkan supaya tidak jadi lagi sekali? Dapatan RCI suruh pinda Akta Tabung Haji. Dan ini perlu berlaku dalam Parlimen," katanya.


Beliau berkata pindaan tersebut wajar memberi penekanan kepada pemisahan yang lebih jelas antara kepentingan politik dengan pengurusan institusi, khususnya dalam soal pelantikan dan tadbir urus.


Selain isu tadbir urus, beliau turut menyentuh mengenai subsidi kos haji dan menjelaskan bahawa bantuan kos haji mempunyai sejarah yang panjang sebelum berkembang kepada bentuk subsidi seperti yang dikenali hari ini.


Menurutnya, konsep kemampuan (istita'ah) perlu diberi perhatian dalam menentukan kewajipan menunaikan ibadah haji, kerana kewajipan itu berkait rapat dengan kemampuan seseorang dari sudut kewangan.


Beliau berkata seseorang yang belum mempunyai kemampuan kewangan tidak seharusnya melihat subsidi sebagai alasan untuk memaksa diri menunaikan haji.


"Kalau tak mampu pergi haji, tak apa. Tidak ada dosa kalau tak mampu pergi haji. Islam ada ibadah yang memang memerlukan duit," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa reformasi TH bukan hanya berkaitan dengan kedudukan kewangan, tetapi turut menyentuh soal ketelusan, akauntabiliti dan struktur kuasa supaya institusi yang menguruskan simpanan umat Islam itu tidak lagi terdedah kepada kelemahan sama.


Tegasnya proses reformasi dapat memastikan kepentingan jutaan pendeposit TH sentiasa menjadi keutamaan serta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap institusi tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page