top of page

Syukur konsep Imam al-Shazili: “Melihat pemberi nikmat dalam setiap nikmat”

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Dr Maszlee (kanan) bersama Bapak Al Muzzammil Yusuf dalam pertemuan di Indonesia baru baru ini
Dr Maszlee (kanan) bersama Bapak Al Muzzammil Yusuf dalam pertemuan di Indonesia baru baru ini

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik mengajak masyarakat memahami semula konsep syukur menurut perspektif tasawuf yang dibawa oleh Abu al-Hasan al-Shadhili, pengasas Tariqat Shaziliyyah, sebagai asas pembentukan peribadi dan tanggungjawab sosial.


Menurut beliau, perbincangan tersebut timbul susulan pertemuannya pada awal tahun ini dengan Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, Al Muzzammil Yusuf, dan berkongsi pandangan tentang dimensi syukur dalam tradisi tasawuf.


"Dalam wacana keagamaan lazim, syukur sering disikapi sebagai kewajipan moral iaitu dengan mengucap “Alhamdulillah” ketika menerima nikmat dan bersabar ketika diuji.


"Berbeza dengan kelaziman ini, dalam tradisi tasawuf, syukur bukan sekadar ungkapan lisan atau sikap psikologi. Ia adalah disiplin tauhid yang membentuk cara manusia melihat dirinya, kekuasaan, harta dan penderitaan," kata beliau dalam satu tulisan panjang di Facebooknya.


Dr Maszlee berkata, bagi Abu al-Hasan al-Shadhili, syukur bukan hanya mengakui adanya nikmat tetapi “melihat Pemberi nikmat dalam setiap nikmat”.


"Bagi al-Shāzili, syukur bukan sekadar mengakui adanya nikmat. Syukur ialah “melihat Pemberi nikmat dalam setiap nikmat.” Paradigma ini mungkin kelihatan dan bunyinya seolah-olah sesuatu yang kecil, tetapi kesannya besar.


"Ia merupakan anjakan daripada memusatkan perhatian kepada apa yang dimiliki, kepada kesedaran tentang dari mana ia datang, iaitu Yang Maha Memberi Rezeki itu sendiri, Allah al-Razzaq


"Di situlah tauhid menjadi hidup. Syukur membawa manifestasi keesaan Allah SWT sebagai pemberi nikmat," katanya.


Mengulas lanjut, katanya, ungkapan yang sering dinisbahkan kepada al-Shāzili ialah “sikap bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT dengan tidak menggunakan nikmat Allah untuk bermaksiat kepada-Nya.”


Ujar Dr Maszlee, Al-Shāzili turut terkenal dengan doa-doanya yang sarat dengan pengakuan tauhid dan pergantungan mutlak kepada Allah. Tulisan al-Shazili seperti Hizb al-Bahr, banyak menekankan persoalan tawakkal dan keyakinan dalam menghadapi cabaran. Doa tersebut bukan sekadar wirid peribadi, tetapi satu peringatan untuk membentuk keberanian moral untuk berperanan dalam masyarakat.


"Syukur juga menjadi benteng daripada sikap putus asa dan lemah semangat. Al-Quran mengingatkan: “Jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan (nikmat) kepadamu” (Surah Ibrahim, 14:7).


"Tambahan yang Allah SWT yang Allah janjikan buat mereka yang bersyukur di sini bukanlah pertambahan atau ganjaran material semata-mata, tetapi juga kekuatan jiwa dan keperibadian," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa tasawuf al-Shazili bukan bersifat escapism atau menjauhkan diri daripada realiti kehidupan.


"Syukur bukan pasrah terhadap ketidakadilan. Sebaliknya, ia menuntut agar nikmat akal dan suara digunakan untuk membetulkan keadaan," jelasnya.


Dr Maszlee mengingatkan bahawa syukur tidak boleh disempitkan sebagai alasan untuk membungkam kritikan terhadap ketidakadilan.


"Tafsiran ini bercanggah dengan ruh tasawuf al-Shāzili. Mensyukuri nikmat akal dan iman bererti menggunakannya untuk menegakkan kebenaran.


"Jika nikmat kedudukan digunakan untuk melindungi kezaliman, itu bukan syukur — itu pengkhianatan terhadap amanah," tegasnya.


Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia itu menyimpulkan bahawa tafsiran syukur menurut Imam al-Shazili menyatukan dimensi rohani dan sosial secara organik — bermula di hati, dilafazkan oleh lidah dan diterjemahkan melalui tindakan.


"Dalam dunia yang sering memuja pencapaian dan mengabaikan makna, ajaran al-Shāzili mengingatkan bahawa nikmat tanpa syukur melahirkan keangkuhan; syukur tanpa tindakan menjadi kosong.


"Syukur menurut beliau ialah melihat nikmat tanpa melihat diri dan menjadikan setiap nikmat sebagai amanah untuk kebaikan bersama," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page