top of page

N Sembilan rancang sumber air alternatif tampung keperluan industri, pusat data

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kerajaan Negeri Sembilan bakal membangunkan sumber alternatif air baharu di negeri itu untuk kegunaan sektor industri termasuk menampung operasi tiga pusat data yang bakal dibina.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) berkata, tiga pusat data dirancang dibangunkan di Nilai, Sungai Gadut di Senawang, Springhill di Port Dickson dan langkah membangunkan sumber air alternatif berkenaan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk tidak terjejas.


"Kita sedang merancang sumber alternatif air yang baharu untuk kegunaan industri termasuk pusat data berkenaan.


"Dua lokasi telah dikenal pasti, manakala satu lagi dalam perbincangan. Projek berkenaan akan dibangunkan sama ada oleh kerajaan negeri atau pihak swasta," katanya dipetik.


Aminuddin ditemui pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi Fasa 2, di Seremban, pada Jumaat.


Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, paras air di tujuh empangan utama di negeri ini dalam keadaan baik dengan dua empangan mempunyai simpanan 100 peratus manakala, empat empangan melebihi 90 peratus simpanan.


Manakala satu empangan iaitu Empangan Kelinchi mempunyai 68 peratus simpanan untuk membantu Empangan Sungai Terip.


Berkenaan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 yang sudah siap sepenuhnya, Aminuddin berkata, ia mampu memberi manfaat kepada lebih 80,000 akaun melibatkan pengguna domestik,komersial dan industri.


"Projek ini bernilai lebih RM200 juta dan dimulakan pada April 2022 melalui kerjasama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).


"LRA ini mampu mengeluarkan sebanyak 150 juta liter air terawat sehari dan ia dibina bertujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat dan untuk menstabilkan bekalan air ke kawasan sekitar Seremban, Nilai, dan Sendayan demi memenuhi keperluan semasa serta pembangunan yang akan datang," katanya.


Dalam masa sama jelasnya. kerajaan negeri juga telah memperuntukkan kira-kira RM50 juta tahun ini bagi menggantikan paip lama di seluruh negeri dalam usaha mengurangkan insiden paip pecah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page