top of page

Syor RCI: Ahli politik aktif dilarang sertai Tabung Haji

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan rombakan menyeluruh terhadap struktur tadbir urus institusi itu termasuk melarang ahli politik yang aktif daripada dilantik sebagai pengerusi, anggota Lembaga Pengarah atau menganggotai anak syarikat institusi itu.


Suruhanjaya itu berkata langkah tersebut penting bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan profesionalisme serta mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi yang menguruskan simpanan jutaan pendeposit.


"Peruntukan khusus yang melarang ahli politik yang aktif daripada dilantik dan memegang jawatan sebagai Pengerusi atau anggota Lembaga dan anak-anak syarikat," kata laporan RCI yang diterbitkan semalam.


Syor tersebut merupakan antara cadangan utama yang dikemukakan RCI menerusi pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang turut mencadangkan kriteria lebih ketat bagi pelantikan anggota Lembaga.


Menurut laporan itu, undang-undang perlu menetapkan secara jelas kelayakan individu yang boleh dipertimbangkan menganggotai Lembaga TH termasuk bidang kepakaran yang diperlukan serta kaedah pemilihan mereka.


RCI turut mengesyorkan sebuah jawatankuasa atau badan penasihat bebas diwujudkan bagi menilai pelantikan dan penamatan anggota Lembaga.


Mengikut syor itu, pelantikan anggota Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif TH hendaklah dibuat oleh Perdana Menteri berdasarkan syor jawatankuasa bebas berkenaan.


Dalam masa sama, RCI mengesyorkan struktur tadbir urus TH disusun semula dengan memisahkan tanggungjawab pengurusan haji dan pengurusan dana.


"Struktur tadbir urus LTH perlu disusun semula untuk memberi mandat kepada Menteri Hal Ehwal Agama bagi pengurusan haji, dan Menteri Kewangan bagi pengurusan kewangan, dana dan pelaburan," katanya.


RCI juga berpandangan penglibatan anggota Lembaga serta pengurusan tertinggi TH dalam anak syarikat perlu dihadkan bagi mengelakkan konflik kepentingan dan memastikan mereka memberi tumpuan kepada tanggungjawab di peringkat induk.


Selain itu, suruhanjaya mencadangkan penyata kewangan TH tidak lagi diaudit oleh Jabatan Audit Negara sebaliknya dilakukan oleh firma akauntan swasta.


RCI turut mengesyorkan kaedah pengiraan agihan keuntungan (hibah) diperkemas supaya hanya berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit mengikut piawaian semasa, bukannya laporan proforma.


"Kerajaan hendaklah mengambil langkah penambahbaikan secara menyeluruh dalam usaha memperkukuh model perniagaan dan pelaburan LTH termasuk memperkasa tadbir urus melalui pengurusan profesional tanpa campur tangan politik," kata laporan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page