top of page

Aminuddin seru Rakyat Negeri Sembilan pertahan kedaulatan institusi Raja

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib
Datuk Seri Aminuddin Harun. Gambar arkib

Di tengah tengah perebutan takhta Negeri Sembilan yang didalangi kerajaan BN-PN, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru seluruh rakyat negeri itu untuk bersatu hati mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.


Beliau juga menggesa rakyat Nismilan mempertahankan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan di negeri itu.


"Daulat Tuanku!


"Solidariti rakyat Negeri Sembilan buat Duli Yang Maha Mulia Tunku Muhriz, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya dalam muat naik di Facebook.


Aminuddin berkata, kesatuan rakyat amat penting bagi memastikan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan terus dipertahankan.


"Saya menyeru agar seluruh rakyat Negeri Sembilan bersatu hati dan mendoakan kesejahteraan Tuanku Muhriz serta mempertahankan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan," ujarnya.


Dalam kenyataan sama, Aminuddin turut menyeru rakyat supaya menolak pemimpin yang didakwa mengkhianati institusi Raja dan melanggar Perlembagaan.


"Tolak pemimpin yang mengkhianati institusi Raja dan melanggar Perlembagaan," katanya.


Beliau menegaskan pendirian bahawa kesetiaan kepada Raja dan negara menjadi asas solidariti yang dizahirkan.


"Kesetiaan kami hanya kepada Raja dan negara," katanya lagi.


Kenyataan itu dimuat naik selepas barisan Exco Negeri Sembilan yang diterajui Umno mengeluarkan kenyataan media usai menyuarat Exco yang mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz digugurkan dan Yang di-Pertuan Besar baharu akan menggantikan tempat beliau.


Kenyataan itu bagaimanapun tidak dikeluarkan oleh Menteri Besar sebagaimana rasminya sebagai ketua pentadbiran negeri dalam isu isu rasmi. Bahkan kenyataan itu turut dipertikaikan oleh ADUN pembangkang di Negeri Sembilan.


ADUN Bahau dari DAP, Teo Kok Seong berkata, amalam rasmi berkaitan keputusan Kerajaan Negeri tidak dilakukan sebagaimana yang berjalan pada hari ini.


"Saya mungkin tidak begitu senior sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Namun, berdasarkan amalan pentadbiran Kerajaan Negeri, sebarang pendirian atau pengumuman rasmi kerajaan lazimnya dibuat melalui kenyataan Menteri Besar atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.


"Oleh itu, kenyataan bersama barisan Exco hanya mencerminkan pendirian ahli-ahli Exco berkenaan dan tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi Kerajaan Negeri," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page