Syor PBB hantar tentera pengaman ke Palestin - Kaukus Parlimen
- Redzuan Shamsudin
- Oct 31, 2023
- 2 min read

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia hari ini mendesak Kerajaan melakukan tindakan yang lebih agresif bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang digempur tentera Israel dalam serangan darat besar besaran memasuki hari ke-3.
Menurut Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, kaukus hari ini telah mensyorkan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh Malaysia bagi menyuarakan ketegasan mengakhiri pembunuhan beramai ramai orang awam dan kanak kanak tidak berdosa di Gaza.
"Kaukus menyarankan supaya Malaysia memanggil duta negara-negara yang menentang resolusi Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) sebagai langkah tegas Malaysia (dalam isu keganasan Israel)
"Menggesa Malaysia menyokong permintaan Emiriyah Arab Bersatu bagi Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang khas berhubung tindakan Israel meneruskan serangan ke atas orang awam dan serangan darat di Gaza. Ini kerana resolusi PBB (sebelum ini) dianggap syor dan tidak terikat kepada negara anggota, melainkan ia juga diterima oleh Majlis Keselamatan
"Mengesyorkan PBB membuat persediaan menghantar tentera pengaman demi menghentikan serangan dan pembunuhan beramai-ramai (genocide) oleh rejim zionis Israel," ujar Syed Ibrahim ketika membacakan kenyataan media kaukus berkenaan di Parlimen, pagi tadi.
Menurut beliau lagi, Malaysia perlu mengatur diplomasi untuk menggalakkan Ahli-ahli Parlimen seluruh dunia mendesak kerajaan masing-masing supaya akur dengan resolusi PBB
Bagi situasi dalam negara pula, kaukus menggesa semua rakyat Malaysia termasuk parti-parti politik yang cintakan keamanan dan kemanusiaan untuk tumpu kepada isu bencana kemanusiaan terburuk dan jenayah genocide oleh rejim Israel; mendesak pemberhentian serangan melampau Israel ke atas hospital, kanak-kanak dan wanita serta menuntut laluan selamat bantuan kemanusiaan dan mengelakkan peningkatan perperangan.
"Ketepikan perkara remeh dan propaganda (terutama pembangkang). Tunjukkan perpaduan dan solidariti Malaysia yang padu.
"Kaukus juga mengingatkan semua untuk tidak menggunakan bahasa dan naratif yang boleh ditafsir sebagai menormalisasi kerja jahat Israel (di Gaza)," katanya.
Pendirian kaukus itu, kata Syed Ibrahim, bertepatan dengan resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 27 Oktober 2023 melalui Sidang Khas Tergempar kali ke 10 yang telah meluluskan resolusi berkaitan krisis Gaza dan menggesa gencatan senjata kemanusiaan yang disokong oleh 121 negara, 14 negara menentang dan 44 negara berkecuali.
Hal itu juga, katanya, bersesuaian dengan ketetapan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pada 20 Oktober 2023 yang mengutuk serangan ke atas orang awam, mendesak gencatan senjata, menggesa perlindungan ke atas rakyat Palestin, menyegerakan bantuan kemanusiaan dan keperluan asas.
Termasuk ketetapan Sidang Khas OIC pada 18 Oktober 2023 yang mengeluarkan kenyataan bersama mendesak langkah perlu untuk memaksa Israel menghentikan semua pelanggaran, serangan dan jenayah serta berusaha memberi perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin.
Kaukus Palestin Parlimen Malaysia dengan itu mengutuk serangan berterusan rejim zionis Israel terbaharu yang menyerang kawasan awam sekitar Tal al-Hawa di Gaza, berdekatan Hospital Al-Quds.
Tentera Israel Occupation Force (IOF) juga telah memasuki bandar Jenin, Tebing Barat, menyerang kem perlindungan Jenin dan memutuskan bekalan elektrik.
Setakat ini lebih 7,000 rakyat Palestin telah terkorban akibat serangan udara dan darat Israel sejak 8 Oktober lalu.
Comments