Syiar Islam terus subur, peruntukan meningkat kepada RM2.6 bilion
- Suara Keadilan
- 13 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan terus menzahirkan komitmen tinggi terhadap pembangunan Islam secara menyeluruh dengan peruntukan RM2.6 bilion, peningkatan sebanyak RM600 juta berbanding peruntukan pada tahun lepas, demikian kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (gambar).
Beliau menjelaskan rekod menunjukkan pentadbiran Madani secara konsisten memberi peruntukan tambahan setiap tahun dari RM1.5 bilion pada 2023, RM1.9 bilion (2024) dan RM2 billion pada 2025.
"Langkah ini memperlihatkan bahawa dalam arus kemodenan dan digitalisasi, perkembangan Islam sama sekali tidak dipinggir malah terus menjadi tunjang kepada pembangunan insan dan negara di bawah pentadbiran kerajaan Madani," katanya dalam kenyataan.
Zulkifli berkata inisitif yang diteruskan kerajaan adalah penambahbaikan prasarana sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok dengan peruntukan sebanyak RM150 juta termasuk penggantian peralatan pengajian yang telah usang.
Katanya peruntukan tersebut juga disediakan bagi tujuan latihan kemahiran profesional kepada 720 pelajar tahfiz melalui GiatMARA agar mereka bukan sekadar hafiz al-Quran malah memiliki kemahiran untuk menyumbang dalam pasaran kerja.
Jelas beliau kerajaan juga akan menganjurkan edisi ketiga Majlis Sama‘ Hadis 2026 sebagai wadah menghidupkan tradisi ilmu dan sanad yang menjadi warisan Rasulullah SAW.
Peruntukan tersebut juga digunakan bagi penghasilan 1 juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa dunia melalui kerjasama Yayasan Restu dan Jakim yang memperkukuh diplomasi Islam Malaysia di peringkat antarabangsa, katanya.
"Ia juga membabitkan pembinaan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya dan pengenalan Mushaf MADANI bagi memperluas budaya tadabbur dan pembacaan al-Quran di peringkat nasional," kata beliau.
Sementara itu, katanya lagi bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji, KWSP akan meningkatkan had pengeluaran KWSP kepada RM10,000 untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima itu.
"Pengiktirafan kepada institusi masjid turut diperkasa melalui Anugerah Masjid Malaysia dan Konvensyen Masjid yang akan mengangkat peranan masjid sebagai pusat komuniti berdaya saing dan berilmu, bukan sekadar tempat ibadah ritual.
"Jakim juga sudah memulakan usaha untuk menubuhkan Yayasan Pembangunan Masjid Malaysia dengan hasrat untuk meningkatkan kemampanan pentadbiran, pengurusan dan penyelarasan masjid di seluruh negara," katanya.
Zulkifli menekankan inisiatif tersebut menjadi bukti Islam terus subur di negara ini dengan Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan besar dan signifikan berkaitan hal ehwal agama merangkumi aspek pendidikan, pentadbiran dan pengurusan Islam serta institusi termasuk pemakmuran majlis ilmu yang menyeluruh.
Dalam pada itu beliau memberitahu laporan oleh State of the Global Islamic Economy Report pada Julai 2025 sekali lagi menobatkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global, sekali gus mengekalkan kedudukan No. 1 dalam Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk lebih 11 tahun berturut-turut.
Katanya Malaysia terus mendahului dunia dalam sektor kewangan Islam sama ada dari aspek pendidikan, pasaran, penyelidikan dan pembangunan, nilai aset dan daya cipta dan inovasi.
Tambah beliau pencapaian ini menuntut negara terus berusaha memperkasa dan menambah baik sektor kewangan Islam, perbankan, takaful, wakaf dan sektor halal dari segenap aspek.
"Belanjawan Madani 2026 memperkenalkan pelbagai langkah reformasi untuk memperkukuh sistem kewangan Islam yang bukan sahaja patuh syariah malah inklusif dan lestari," katanya.