Syarikat telco diarah tingkatkan kualiti liputan internet di DUN Ayer Kuning
- Suara Keadilan
- Apr 14
- 2 min read

Liputan internet yang kurang baik di kawasan DUN Ayer Kuning perlu ditingkatkan kualitinya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan meningkatkan kualiti perkhidmatan susulan teguran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi di DUN berkenaan.
"Oleh itu, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti yang diarahkan MCMC bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan," kata kenyataan suruhanjaya tersebut.
Menurut kenyataan sama, beberapa lokasi juga telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan untuk diperbaiki liputan seperti Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah; 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning; Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
"Setakat 6.00 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC.
"Antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada; pemasangan pemancar sementara; dan perkongsian infrastruktur antara penyedia perkhidmatan.
"Selain itu, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April 2025 bagi mendekati masyarakat setempat.
"Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 9.00 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC," kata kenyataan itu lagi.
Tegas MCMC, suruhanjaya terbabit akan memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.
Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arahan yang dikeluarkan, kata suruhanjaya itu, akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai.
Comments