top of page

Syam Ghaz ziarah bekas KP JKOM di hospital, titip doa kesembuhan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Syam Ghaz (dua dari kanan) mengaminkan doa bersama DS Dr Wan Azizah (kiri Syam Ghaz) dan Datuk Azman Abidin (kanan sekali) yang hadir menziarahi Datuk Ismail Yusof di Hospital Shah Alam, pagi tadi
Syam Ghaz (dua dari kanan) mengaminkan doa bersama DS Dr Wan Azizah (kiri Syam Ghaz) dan Datuk Azman Abidin (kanan sekali) yang hadir menziarahi Datuk Ismail Yusof di Hospital Shah Alam, pagi tadi

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz menziarahi bekas Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop yang kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam akibat diserang angin ahmar.


Turut mengiringi lawatan itu ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.


Hisyamuddin dalam hantaran di media sosial berkata, walaupun dalam keadaan uzur, Ismail masih menitipkan pesanan agar beliau terus memelihara dan meneruskan perjuangan JKOM.


"Melihat mata beliau yang kuyu namun masih memancarkan sinar ketabahan, tiada kata yang mampu menggambarkan betapa kerdilnya rasa diri ini.


"Di sebalik terbaring dengan wayar di tangan, beliau masih sempat melemparkan senyuman yang tenang," katanya.


Menurut Syam, kata-kata bekas Ketua Pengarah itu menjadi amanah yang akan terus dipikul.


"'Syam Ghaz, jagalah JKOM elok-elok... teruskan perjuangan.'


"Senyuman dan pesanan beliau ibarat senyuman seorang pejuang yang tidak pernah kalah dengan takdir," katanya.


Hisyamuddin turut berkongsi peringatan mengenai ujian kehidupan merujuk kepada ayat al-Quran Surah Al-Balad, Ayat 4, yang mengingatkan bahawa manusia sentiasa diuji dengan kesukaran.


"Tafsir ayat ini mengajar kita satu hakikat yang meruntun jiwa bahawa hidup ini penuh jerih perih yang tidak pernah bernoktah. Sejak tangisan pertama kita lahir ke dunia sehinggalah nafas terakhir kita nanti, manusia tidak akan pernah lari daripada kepayahan. Semua ini adalah ujian yang kita semua kena tempuhi sebagai makhluk-Nya," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Ismail sepanjang menerajui JKOM.


"Kepada Datuk Ismail Yusop, kami doakan semoga cepat sembuh dan pulih seperti sediakala. Terima kasih atas setiap titis keringat dan legasi yang ditinggalkan. Jasa Datuk akan saya galas dengan air mata amanah ini sebagai penyambung warisan Datuk di JKOM," katanya.


Hishamudin turut mengajak orang ramai mendoakan kesembuhan Ismail serta ketabahan buat ahli keluarganya.


"Saya merayu, marilah kita luangkan masa seketika untuk menghadiahkan doa buat susuk tubuh yang banyak berjasa ini. Ya Allah, angkatlah kesakitan beliau, kurniakanlah kesembuhan yang mutlak dan tiupkanlah ketabahan yang luar biasa buat seluruh ahli keluarganya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page